Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraEkonomiHomePerlisViral

Konvensyen Perlis Maju Jelaskan Pencapaian Kepada Rakyat

By 26 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Wan Muhamad Zikri, Sufian Kamarudin (Kangar)

KANGAR, 26 Jan (Malaysiaaktif) — Negeri Perlis mencapai 48 daripada 53 dalam skala petunjuk prestasi Perlis Maju 2015 berdasarkan pencapaian tarikh akhir penilaian pada 31 Disember 2015.

Ini diumumkan dalam Konvensyen Perlis Maju Rakyat Minda Kelas Pertama yang berlangsung di sini semalam.

Menurut Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, sehingga Disember tahun lepas petunjuk pencapaian mencecah 90.57 peratus atau 48/53 pada skala prestasi.

“Usaha berterusan akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran semua indikator yang telah ditetapkan, seterusnya menumpukan perhatian kepada usaha kerajaan negeri merealisasikan wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030,” kata beliau.

Menurut Azlan, antara pelan cadangan dan kawasan strategik pembangunan negeri, termasuk pembinaan Terminal Pengangkutan Awam di Kangar, cadangan Bandar Maritim di Kuala Perlis, cadangan Hab Industri dan Logistik Lembah Chuping di Padang Besar dan cadangan Pelabuhan Perantara Bersepadu Antarabangsa di Sanglang.

Konvensyen ini juga menyaksikan pembentangan Kad Laporan Prestasi Agenda Negeri Perlis Maju 2015 yang dibentangkan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Pembangunan/Pengarah Perancang Ekonomi Negeri Perlis, Izamael Zamzuri Ismail.

Beliau menjelaskan prestasi petunjuk dari tujuh sektor yang merangkumi ekonomi makro, sosial, modal insan, infrastuktur dan utiliti, pentadbiran kerajaan, alam sekitar serta sains dan teknologi.

Menurut Izamael Zamzuri, sebanyak lima daripada 53 petunjuk tidak tercapai, iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Per Kapita, Jangka Hayat Penduduk, Jangka Hayat Penduduk Lelaki, Jangka Hayat Penduduk Wanita dan Nisbah Kebergantungan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, Brigedier Jeneral Datuk Profesor Emeritus Dr. Kamarudin Hussin membentangkan Laporan Kajian Persepsi Rakyat Perlis Terhadap Agenda Negeri Perlis Maju 2015.

Beliau menyatakan bahawa sebanyak 89.6% rakyat Perlis mempunyai pengetahuan tentang definisi maju dan selebihnya 10.4% kurang pengetahuan menerusi kajian yang dibuat pada 2012.

Konvensyen diteruskan dengan penyerahan buku laporan tahunan dan sistem pelan strategi Perlis Maju (EPSPM) oleh Universiti Malaysia Perlis kepada Kerajaan Negeri Perlis.

Menteri Besar menyampaikan sijil penghargaan kepada Sekretariat Perlis Maju 2015 dan wakil Inter Agency Planning Group di atas komitmen menjayakan agenda Perlis Maju 2015.

Konvensyen yang diadakan di Dewan Warisan Kangar ini dihadiri lebih 500 orang, termasuk barisan kepimpinan negeri.

 

Tinggalkan komen anda