Skip to main content
EkonomiHomeViral

SRC/ RM2.6 Bil : Najib Didapati Tidak Bersalah – Peguam Negara

By 26 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Peguam Negara mengesahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bebas daripada sebarang kesalahan berhubung tiga kertas siasatan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penerimaan dana RM2.6 bilion.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata beliau berpuas hati dengan kerjasama saksi dan dokumen  bukti yang diberikan kepadanya.

Tambahnya, ketiga-tiga kertas siasatan terbabit itu akan ditutup atau NFA/KUS, iaitu tiada tindakan lanjut (NFA)/kemas untuk simpan (KUS).

“Berhubung kertas siasatan berkaitan dana yang dikatakan berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, saya berpuas hati bahawa keterangan saksi dan dokumen sokongan yang dikemukakan pihak SPRM kepada saya menunjukkan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri sebenarnya berjumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion).

 

20160125224300 (1)

 

“Dana berkenaan yang dimasukkan di antara tarikh 22 Mac 2013 dan 10 April 2013 adalah sumbangan peribadi kepada Perdana Menteri daripada keluarga diraja Arab Saudi dan diberikan kepada beliau tanpa apa-apa balasan.

“Pihak SPRM sendiri di dalam siasatan menemui dan merakamkan percakapan saksi termasuk pemberi sumbangan dana terbabit yang mengesahkan sumbangan diberikan kepada Perdana Menteri secara peribadi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini berhubung siasatan kes berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berpendapat tidak terlihat sebarang kesalahan dalam urusan berhubung dua kertas siasatan berkaitan SRC.

Jelasnya, tiada bukti menunjukkan Perdana Menteri menyalahgunakan pangkatnya ketika mesyuarat jemaah menteri memberi kelulusan jaminan kepadanya wang pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

“Keterangan juga menunjukkan bahawa proses kelulusan pinjaman oleh Lembaga KWAP dan proses kelulusan jaminan pinjaman oleh mesyuarat jemaah menteri dibuat secara teratur.

“Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan Perdana Menteri meminta atau dijanjikan apa-apa suapan daripada mana-mana pihak sebelum, semasa atau selepas keputusan jemaah menteri dibuat,” katanya.

Mohamed Apandi berkata semua keterangan yang diberikan tidak membabitkan kepentingan Najib sebagai Perdana Menteri.

Katanya, tiada apa-apa keterangan menunjukkan Perdana Menteri memberi arahan untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC ke dalam akaun beliau.

“Pihak SPRM sendiri mengakui berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi yang boleh menunjukkan bahawa Perdana Menteri melakukan sebarang perbuatan rasuah,” katanya.

 

Tinggalkan komen anda