Skip to main content
EkonomiHomeViral

KPDNKK Tetap 13 Harga Barang Sempena Tahun Baru Cina

By 27 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Dila Khamde (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini menetapkan harga maksimum bagi 13 jenis barangan harga terkawal sempena musim Perayaan Tahun Baru Cina 2016 yang akan disambut pada 8 Februari.

Kategori 13 barangan harga terkawal ini terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, barang kering, hasil laut dan daging khinzir.

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina (SKHMP TBC) 2016 ini akan mula berkuat kuasa dari 3 hingga 14 Februari 2016, iaitu selama tempoh 12 hari.

Menurut Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

Tambah beliau, peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut dengan lebih rendah daripada harga maksimum. sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah.

Harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ditentukan bagi memastikan harga yang berpatutan dalam rantaian pengedaran, bagi manfaat pengguna dan peniaga meliputi 89 daerah di semenanjung, 32 daerah di Sarawak, 27 daerah di Sabah dan satu daerah di WP Labuan.

Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Bagi individu yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang telah ditentukan boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000. Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi individu yang melakukan kesalahan gagal meletakkan harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal yang dijual boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000. Manakala bagi syarikat, didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

 

Tinggalkan komen anda