Skip to main content
Berita TempatanHomeMelaka

Melaka Mula “Mencari Ramli 5”

By 12 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh : Fauzrina Haji Bulka MELAKA, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Stadium Hang Tuah akan menjadi medan pencarian pemain muda bola sepak remaja berbakat berusia 13 hingga 16 tahun menerusi program “Mencari Ramli 5” selama dua hari bermula 16 Januari ini.

Menurut Pegawai Perhubungan Korporat Telekom Malaysia (TM) Melaka, Syahizam Mohd Diah, program ini akan bermula seawal 7.00 pagi hingga 6.00 petang dan peserta disaran untuk mendaftar secara dalam talian diwww.tm.com.my/mr5 atau melalui “Team Malaysia Cruiser” yang akan ke sekolah-sekolah dan di beberapa lokasi terpilih.

Tambahnya, program tersebut akan dikendalikan oleh empat orang jurulatih yang telah dipilih oleh pihak penganjur. Legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann akan membuat kemunculan istimewa pada hari Ahad ini bagi memberi semangat kepada para peserta.

“Sasaran awal kehadiran peserta pada hari pertama adalah seramai 1000 orang. Namun begitu, pemain yang berjaya melalui tiga peringkat pada hari pertama akan ditapis kepada 44 orang yang terbaik untuk melalui cabaran peringkat keempat pada hari kedua,” ujar Syahizam.

Selain itu, pada hari tersebut akan diadakan Cabaran Bola Pening yang memberi ganjaran sekeping tiket penerbangan ke Manchester dan menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung. Cabaran ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas yang  membeli sehelai jersi Team Malaysia berharga RM53 atau telah melanggan Unifi atau Streamyx.

Program Mencari Ramli yang telah memasuki musim kelima anjuran Telekom Malaysia Berhad ini disokong oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) serta mendapat kerjasama daripada Manchester United.

Tinggalkan komen anda