
Oleh Mohd Zihan Zari (Kuala Muda)
ALOR SETAR, 6 Jan (Malaysiaaktif) — Menjala ‘ikan darat’ seperti keli, puyu, haruan, sepat dan sebagainya amat popular di kalangan penduduk kampung dan pesawah kerana ia boleh menambah sumber pendapatan harian.
Begitulah dengan pesawah, Azizan Mansur, 45, dari Kampung Gelung Air, Gunung Keriang, yang menjala ikan darat bagi mendapatkan pendapatan.
“Sehari dapatlah dalam RM30, bolehlah tampung belanja hidup, belanja anak-anak sekolah, ” katanya.
Azizan menunjukkan ikan puyu ekor bercabang dua, ketika wartawan Malaysiaaktif berkunjung ke rumahnya. Katanya, ketika sedang asyik menjala di parit tali air kampungnya tidak lama dahulu, dia teruja apabila ikan puyu tersebut tersangkut pada jalannya.
Bagaimanapun, Azizan tidak berhasrat untuk menjualnya ikan ganjil itu dan sebaliknya mahu membelanya.
Sementara itu, di rumahnya juga terdapat beberapa ekor ikan keli yang beratnya melebihi 10 kilogram. Menurutnya, dia bersedia menjualnya ikan keli tersebut kepada sesiapa yang berminat dengan harga yang berpatutan dan memberi secara percuma benih induknya.