Skip to main content
EkonomiHomeViral

Pusat Aduan Pastikan Tiada Barang Tiruan Di Mara Digital

By 4 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Mara digital yang beroperasi sejak sebulan lalu akan mewujudkan pusat aduan pelanggan bagi membanteras sebarang kes penipuan di tempat tersebut.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pusat tersebut akan dilaksanakan secepat mungkin dengan kerjasama penuh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Antara pembaharuan yang kita akan buat di Mara Digital ini, yang pertamanya kita akan buka pusat aduan pelanggan, supaya apa sahaja mengenai pelanggan, mereka boleh membuat aduan.

“Kita akan letakkan pegawai Mara juga, dari Mara Inc yang uruskan Mara Digital ini untuk menerima aduan daripada pelanggan, sama ada aduan tentang produk tidak berkualiti, bukan tulen ataupun apa-apa sahaja aduan daripada pelanggan, tak puas hati tentang layanan dan semua, kita akan berikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan di Mara Digital, hari ini.

Beliau menjelaskan pihaknya telah mengambil tindakan susulan dakwaan beberapa pelanggan yang mengatakan Mara Digital tidak mempunyai perkhidmatan selepas jualan.

Jelasnya, ia telah membimbangkan segelintir pelanggan yang ingin membaiki barang yang dibeli sekiranya mengalami kerosakan.

“Sebenarnya kita sudahpun membuka tempat di bawah Syarikat Bumijaya Enterprise untuk after sales service dan juga untuk membeli alat ganti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengesahkan Mara telah melantik syarikat WGN Scan Sdn Bhd, sebagai pembekal utama untuk memastikan kesemua barang elektronik yang dijual di Mara Digital tulen.

“Jadi, ada dua jenis produk di sini, satu yang dibekalkan oleh WGN, maknanya peniaga-peniaga di sini mengambil produk daripada WGN.

“Yang kedua, mana-mana produk yang diambil dari luar, sama ada diimport dari negara sumber, mereka (peniaga) juga perlu membawa kepada WGN, untuk disahkan ketulenan dan sebagainya.

“Jadi, tak timbullah isu ada produk yang diambil dari tempat lain dan sebagainya, kerana semua produk dibekalkan WGN atau diambil dari negara sumber, mesti dibawa atau disahkan WGN,” ujarnya.

KPDNKK dilaporkan akan memulakan promosi secara besar-besaran termasuk iklan di beberapa jalan utama dan media cetak.

 

Tinggalkan komen anda