Skip to main content
EkonomiHomeViral

Dua Mara Digital Selangor Akan Dibuka Selewatnya Jun Tahun Ini

By 4 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Malaysiaaktif) —Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan hari ini pihaknya akan membuka dua buah Mara Digital lagi di Selangor selewat-lewatnya Jun tahun ini.

Beliau berkata kementeriannya telah mengenal pasti lokasi dua pusat elektronik tersebut iaitu di Shah Alam dan Kota Damansara.

Jelasnya, pembukaan dua tempat tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan ekoran beberapa proses dan pemindahan Pejabat Mara yang sedang beroperasi di kawasan tersebut.

“Kita-kira tahun ini sebelum pertengahan tahun. Lagi cepat lagi bagus tetapi untuk di Anggerik Mall kita akan buka tahun ini untuk di Damansara kita akan buka tahun ini. Kita melihat kepada bulan tiga dan empat.

“Kalau di Anggerik Mall sebab ada pejabat Mara di situ. Akan pindah pejabat Mara jadi untuk Mara cari pejabat baru lokasi baru mungkin ambil masa. Jadi saya kira paling lewat Jun. Kalau cepat, kita akan percepat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri  menyifatkan penempatan Mara Digital di Shah Alam sebagai persaingan sihat.

Tambahnya, ia akan memberi pilihan yang lebih banyak kepada pelanggan.

“Saya sebagai bekas menteri yang menjaga KPDNKK satu ketika dahulu, lebih banyak persaingan lebih baik untuk pengguna kerana akhirnya pengguna yang mendapat faedah apabila banyak persaingan.

“Maka peniaga akan bersaing servis yang terbaik, peniaga bersaing akan beri harga termurah dengan mutu yang lebih baik.

“Akhirnya pengguna dapat. Jadi tidak timbul lebih banyak persaingan baik untuk pengguna dan kepada peniaga juga baik kerana mereka akan berusaha dari segi kualiti perkhidmatan kepada pelanggan. Tak perlu bimbang,” katanya lagi.

Menurutnya, pihaknya mempunyai hasrat untuk membuka Mara Digital di setiap negeri termasuk negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

“Selain di Terengganu banyak juga di negeri-negeri lain telah menawarkan untuk membuka seperti di Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan kita akan lihat.

“Mula-mula kita akan beri penumpuan kepada bangunan-bangunan Mara di negeri-negeri. Kita tahu banyak bangunan Mara di negeri-negeri ada perniagaannya perlu ditambah baik.

“Negeri Pulau Pinang, macam mana semua negeri kita tidak kiralah. Kita tidak kisah bukan soal negeri pembangkang ini kita akan buka di semua negeri,” tegasnya lagi.

 

Tinggalkan komen anda