Skip to main content
Berita TempatanKedah

RM70 Juta Bagi Menangani Masalah Banjir Di Baling

By 4 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Yaakob Md. Isa, Mahazir Abu Hassan & Siti Yusmil Yusof (Baling)

BALING, 5 Jan (Malaysiaaktif) – Limpahan air banjir yang melebihi kemampuan sistem saliran semakin serius di kawasan lembangan Sungai Muda yang merangkumi Sungai Baling, Sungai Kupang, Sungai Pendiat, Sungai Tembak dan Sungai Pegang.

Kepesatan pembangunan menyebabkan sistem perparitan yang sedia ada tidak mampu menampung penyaliran air dalam masa yang singkat, terutama apabila berlaku hujan lebat. Ini menyebabkan limpahan yang mencetuskan banjir kilat di jalan raya dan kawasan kediaman.

Keadaan sungai yang berliku turut menyukarkan pergerakan air, apatah lagi apabila terdapat halangan, seperti tunggul kayu dan sampah sarap yang tersangkut di bawah jambatan.

Hari ini, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri,  membuat lawatan ke daerah Baling bagi menyaksikan sendiri permasalahan banjir disini.

Sempena lawatannya, satu taklimat khas disampaikan oleh jurutera daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Baling, Mohd Daud Hamid.

Dalam taklimat ini Mohd Daud, antara lain menyatakan punca-punca berlaku banjir kilat dan banjir besar di daerah Baling, terutama di kawasan Kupang.

 

daud

Jurutera JPS menyampaikan taklimat tentang usaha menangani masalah banjir di Baling.

 

Beliau berkata, “Pembangunan yang terlalu rapat dengan sistem saliran menyebabkan sistem pengairan terganggu. Selain itu reba-reba yang tersangkut di bahagian tiang bawah jambatan juga menghalang aliran air sungai.”

Menurut beliau lagi, cadangan penyelesaian jangka pendek perlu bagi membersihkan sungai. Reba-reba perlu dibuang, mengorek Sungai Ketil dan anak-anak sungai, membina ban di kawasan kritikal, menaiktarafkan struktur-struktur serta penyelenggaraan berkala sepanjang Sungai Ketil serta anak-anak sungai.

“Bagi cadangan penyelesaian jangka panjang pula, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) perlu dilakukan. Selain itu, pengambilan balik tanah bagi menjalankan Projek RTB Daerah Baling serta menjalankan Projek RTB Daerah Baling bagi menyelesaikan isu banjir di daerah ini,” Tambahnya lagi.

Beliau turut memaklumkan kerja-kerja segera telah dilaksanakan selepas banjir dengan kos RM174,698.00 bagi pembersihan. Basgi tujuan itu, sebanyak RM3.5 juta telah dipohon. Turut dipohon,  peruntukan sebanyak RM3.4 juta bagi kerja jangka pendek dan sederhana yang belum dilaksanakan selepas banjir.

Mohd Daud berkata kos keseluruhan bagi melaksanakan Projek RTB ini dianggarkan sebanyak  RM70 juta.

 

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda