Skip to main content
HomeViral

Rais Gesa Bahasa Melayu Diguna Dalam Sektor Pelancongan

By 21 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 21 Jan — Bahasa Melayu perlu diberi lebih ruang dalam komunikasi sektor pelancongan di negara ini, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata dalam hal ini, Indonesia boleh menjadi contoh dengan bahasa Indonesia digunakan secara meluas oleh pelawat antarabangsa.

“Kalau pergi ke Indonesia mereka (pelancong) belajar bahasa Indonesia tetapi apabila datang ke Malaysia mereka tidak memberatkan lagi bahasa Melayu kerana kitapun akan bercakap bahasa Inggeris juga,” katanya.

Ini, katanya, boleh menggugat tahap penggunaan bahasa Melayu.

“Jadi saya mencadangkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sekali gus di pupuk, diberi nafas dalam industri pelancongan,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Antarabangsa Bahasa dan Pelancongan (ILTC) 2016 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

ILTC 2016 selama dua hari bermula hari ini bertujuan menangani isu tentang bahasa, pelancongan, pengurusan dan perkara berkaitan sains sosial serta kemanusiaan.

Ia dianjurkan UIAM dengan kerjasama Prince of Songkla University, Trang Campus of Thailand; Sultan Agung Islamic University (Indonesia); Vincent Pol University, Lublin (Poland); dan Majlis e-Pembelajaran bagi Universiti Awam Malaysia (MEiPTA).

Dalam pada itu, Rais menggesa kerjasama negara anggota ASEAN diperkukuh dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa induk komunikasi di rantau ini sebelum ia dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

“Kita mula dengan Malaysia bekerjasama dengan Indonesia dahulu, disertai oleh Brunei, Singapura dan selatan Thailand. Bila sudah rancak baru kita kembangkan ke negara ASEAN lain.

“Jadikan bahasa Melayu sebagai induk komunikasi kita di ASEAN, bila induk sudah besar katakan kepada 500,000 orang (menguasai bahasa Melayu), baru kita melangkah ke antarabangsa,” katanya.

Rais berkata usaha itu tidak harus digalas kerajaan semata-mata, namun memerlukan kerjasama pihak termasuk badan bukan kerajaan dan pakar-pakar daripada universiti serantau.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda