Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Waspada Dalam Pembelian Secara Online

By 13 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh : Zuraidah Ahmad dan Johnny Joklis KOTA KINABALU, 13 Jan (Malaysiaktif) –? Para pengguna dinasihatkan agar lebih waspada ketika membuat pembelian atas talian (online) sama ada menerusi facebook, instagram, twitter, whatsapp dan sebagainya. Kebanyakan pengguna naif sering menjadi mangsa penipuan akibat kurangnya kesedaran serta tidak menyelidik terlebih dahulu butiran penting mengenai peniaga yang mengiklankan produk atau perkhidmatan mereka.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayid berkata pengguna perlu mendapatkan maklumat lengkap berkaitan peniaga seperti nama, nombor mykad, nama syarikat serta alamat premis dan nombor perhubungan peniaga terbabit. “Para pengguna biasanya ghairah dengan produk yang diiklankan dan terus membeli dengan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun peniaga tanpa menyiasat terlebih dahulu butiran lanjut berkaitan perniagaan tersebut.

Menurutnya lagi. “Sepatutnya, pengguna perlu menyiasat dan memastikan identiti peniaga adalah sahih dengan mendapatkan maklumat seperti nama, nombor telefon, nombor mykad serta alamat syarikat yang betul. Tegas Jainab, pengguna harus mengamalkan 3M iaitu memilih barangan terbaik dengan harga berpatutan, memboikot barangan serta premis yang menjual dengan harga tidak munasabah dan melapor salah laku peniaga terhadap pengguna beserta bukti kepada Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Task Force Perlindungan Pengguna (TPP) Sabah (GST) kementeriannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Seksyen Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Sabah, Jahida Usok @ Noraini berkata sebanyak 119 kes diterima sepanjang tahun 2015, 72 kes daripadanya telah menerima award sementara yang lain telah selesai dan dibatalkan. Katanya, kebanyakan kes melibatkan adalah berhubung kenderaan dan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan membaiki kenderaan mereka.

Sehubungan itu, para pengguna disaran agar  membuat aduan sama ada dengan hadir ke pejabat KPDNKK terdekat ataupun secara atas talian (ONLINE)  dengan melayari portal kementerian berkenaan iaitu https://ttpm.kpdnkk.gov.my.

Tinggalkan komen anda