KUALA LUMPUR, 19 Feb — Misteri kehilangan pegawai perubatan yang berkhidmat di klinik bangunan Parlimen, Dr B. Sugumaran sejak awal Januari lalu terungkai, apabila beliau ditemui menginap di sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata Sugumaran, 50, ditemui dalam keadaan selamat kira-kira pukul 7.30 malam ini oleh satu pasukan petugas khas polis.
“Pasukan itu menemui Sugumaran ketika membuat pemeriksaan di hotel itu dan siasatan awal mendapati beliau menginap di situ sejak Selasa lepas.
“Bagaimanapun, siasatan polis mendapati kehilangan Sugumaran tidak mempunyai kaitan dengan sebarang elemen jenayah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ketika ditanya status kesihatan Sugumaran, Zainuddin berkata Sugumaran berada dalam keadaan sihat dan waras.
Sementara itu, sepupu Sugumaran, D Nithiananthan, 43, ketika dihubungi meluahkan rasa leganya terhadap berita penemuan tersebut.
“Saya bersama keluarga akan berjumpanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi malam ini untuk mengetahui perkara sebenar kenapa beliau bertindak (hilangkan diri) demikian.
“Saya juga berterima kasih atas usaha polis yang berjaya menemukan sepupu saya dalam keadaan selamat,” katanya.
Pada Rabu lepas, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M.Kulasegaran telah membuat aduan polis tentang ‘kehilangan’ Sugumaran setelah anggota keluarganya menyuarakan kebimbangan.