Skip to main content
HomeNegeri SembilanViral

Enjin Kereta Api Ekspres Rakyat Terbakar, 310 Penumpang Selamat

By 9 Februari 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

SEREMBAN, 9 Feb — Kereta api Ekspres Rakyat terbakar kira-kira satu kilometer dari Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Sungai Gadut, dekat sini, petang tadi ekoran kerosakan enjin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata dalam kejadian 2.35 petang itu, seramai 310 penumpang kereta api termasuk pemandu selamat dan tidak mengalami kecederaan.

“Kereta api Ekspres Rakyat itu sedang dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Butterworth, Pulau Pinang. Kebakaran itu berlaku akibat kerosakan enjin yang menyebabkan 80 peratus bahagian enjin dan tempat pemandu hangus.

“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian pada 2.49 petang berjaya memadam dan mengawal api 10 minit kemudian daripada merebak ke gerabak yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata kesemua penumpang telah diarahkan turun dan berjalan balik ke stesen KTMB Sungai Gadut.

Bagaimanapun, katanya pemandu kereta api mengalami cedera ringan melecur di bahagian jari.

Seramai 21 anggota melibatkan tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Senawang dan Rembau dikerah ke lokasi kejadian.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda