Skip to main content
HomeViral

Media Bukan Alat Mengganggu Usaha Kerajaan- Jokowi

By 9 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

LOMBOK (INDONESIA), 9 Feb — Teguran Presiden Republik Indonesia Joko Widodo agar media turut memainkan peranan dalam membina negara harus dijadikan pedoman untuk media massa di Malaysia, kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Katanya, presiden Indonesia itu secara telus menegur media di negara ini supaya membangunkan sifat optimisme menerusi pemberitaan dan bukannya menjadi alat yang mengganggu usaha-usaha kerajaan membangunkan negara.

“Saya tertarik dengan kenyataan presiden Jokowi mengenai peranan media iaitu membina semangat membangunkan negara dan media di Malaysia juga haruslah menjadikannya sebagai pedoman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Hari Pers Nasional 2016 di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Jokowi. Zahrain mengetuai 12 anggota delegasi media Malaysia menghadiri majlis berkenan.

Antara anggota delegasi itu termasuklah Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Dalam ucapannya, Presiden Jokowi menyentuh beberapa tajuk berita oleh media-media di Indonesia yang disifatkannya sebagai mengganggu.

Katanya, media seharusnya ikut membangunkan rasa optimisme masyarakat menerusi pemberitaan dan bukannya membuat masyarakat menjadi pesimis.

Sementara itu, Zakaria berkata teguran Jokowi merupakan satu amanat penting kepada media secara keseluruhannya dan ia harus dilihat melalui perspektif yang lebih luas.

“Amanat Jokowi itu sememangnya tepat dan harus mendapat perhatian pengamal media di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, saban tahun pengamal media Malaysia menghadiri Hari Pers Nasional di Indonesia dan ia membuktikan keakraban hubungan dua hala antara media Malaysia dan Indonesia.

Kehadiran rombongan Ketua-ketua Pengarang dan pengamal media dari Malaysia telah menjadi tradisi sejak sambutan Hari Pers Nasional 2013 di Manado, Sulawesi Utara.

Hari Pers Nasional adalah acara sambutan tahunan bagi menghargai seluruh warga media di Indonesia.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda