Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahEkonomiHomeSelangorViral

Mereka Tidak Setuju Lebuhraya Melibatkan Kawasan Kampung

By 24 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

TANJUNG KARANG, 24 Feb (Malaysiaaktif) — Pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (West Coast Expressway), iaitu lebuhraya yang menghubungkan Kuala Selangor dengan Lumut di Perak telah bermula.

Namun ia menjadi isu kepada masyarakat kerana melibatkan beberapa buah kampung, antaranya Kampung Sungai Tengi dan Kampung Sungai Gulang-Gulang.

Sehubungan itu sesi taklimat diadakan semalam oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah LLM, Haji Mohd Salih Santhiman dan wakil konsesi lebuhraya (WCE Sdn Bhd) bagi memperjelaskan status pembinaan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Hj Noh Omar pula berkata beliau tidak bersetuju dengan pembinaan lebuhraya itu jika ia menyusahkan rakyat.

Beliau telah menghadiri banyak mesyuarat dalam menyelesaikan isu ini dan pada mesyuarat 18 November lepas beliau telah mengemukakan tiga cadangan alternatif.

Pertama, pembinaannya melalui jajaran awal yang tidak melintasi kampung-kampung terlibat dengan menaik taraf jalanraya dari Sungai Terap ke Tanjung Karang (Federal 5).

Kedua, pembinaan lebuhraya dibuat di kawasan hutan dan ketiga melalui terusan tali air yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri untuk mendapatkan kelulusan.

Menurut Noh, perjanjian asal pembinaan lebuhraya itu akan melalui kawasan hutan.

Masyarakat kampung rata-rata tidak bersetuju jika pembinaan lebuhraya ini melalui kampung mereka kerana ia kampung tradisi dan warisan mereka.

Satu memorandum bantahan telah dikemukakan oleh JKKN dan JKKP Kampung Sungai Tengi kepada Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad,.

Bantahan juga diluahkan melalui sesi dialog dan soal jawab bersama wakil LLM dan syarikat konsesi.

Datuk Iskandar dalam ucapanya menyatakan kemudahan lebuhraya seharusnya membantu rakyat bukan membebankan rakyat.

Beliau meminta LLM supaya mengkaji perkara ini dan mendapatkan kata putus hasil dari persetujuan semua pihak.

Tambah beliau jika pembinaan lebuhraya melalui tali air atau kawasan hutan, pihaknya sedia membantu tetapi dari segi kos perlu dibincangkan bersama kerajaan persekutuan.

Turut hadir dalam sesi taklimat, Pengawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Sharil Badliza Mohd Nor dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Hajjah Noraini Roslan.

 

Tinggalkan komen anda