Skip to main content
Berita TempatanEkonomiHomeSabahViral

Nelayan Rayu Tangguh Pembekuan Eksport Hasil Laut

By 16 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh R Fauzi Abdul Lahap & Charlane Aloysius Sitaim (Sabah)

SANDAKAN, SABAH, 16 Feb (Malaysiaktif) –? Nelayan di empat buah Kampung Komuniti Nelayan, iaitu Kg. Banting, Kg. Sg. Beruang, Kg. Dandulit dan Kg. Kuala Gum-Gum di daerah ini merayu agar pembekuan eksport hasil laut segar seperti yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini ditangguh atau batalkan.

Perkara ini dimaklumkan kepada pihak media  di suatu majlis yang diadakan di Kampung Dandulit semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kg. Dandulit, Ali Munar Oto, Ketua Kampung, Ehun Tujoh dan Ketua Kampung Mail Batah menyuarakan kebimbangan  terhadap nasib nelayan sekiranya pembekuan eksport ini dilaksanakan.

Seorang nelayan Kg. Kuala Gum-Gum, Abdul Said Haji Damura, 53, berkata, “pasaran tempatan kadangkala tidak dapat menampung jumlah bekalan yang berlebihan, justeru makanan segar ini perlu dieksport agar memberi pulangan ekonomi atau pendapatan kepada nelayan.

“Pembekuan eksport makanan segar menyukarkan kehidupan masyarakat nelayan, terutama ketika musim tengkujuh, selain pelanggaran peraturan penangkapan ikan kapal laut dalam di kawasan cetek menjejaskan hasil nelayan tradisional atau nelayan pesisir pantai,” ujarnya.

Sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Yahya Hussin mengumumkan hasrat kerajaan negeri untuk membekukan serta merta eksport makanan laut segar bagi mengatasi masalah kekurangan sumber makanan di negeri ini semasa merasmikan Majlis Perhimpunan Perdana Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah pada 1 Feb lalu.

Dianggarkan seramai 200 nelayan yang menjadikan hasil laut sebagai pendapatan utama akan terjejas jika pembekuan ini dikuatkuasakan serta merta.

Sehubungan itu, wakil Komuniti Nelayan, Ali Munar Oto menyerahkan satu memorandum bantahan terhadap cadangan berkenaan kepada Rosli Aziz, CDO ( Pegawai Pembangunan ) N41 Gum-Gum.

 

Tinggalkan komen anda