Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Rais Yatim Lancar Program BUDI Peringkat UIAM

By 5 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

oleh Mohd Zaid Awang  GOMBAK, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim melancarkan program BUDI peringkat UIAM di Dewan Utama Pusat Aktiviti Kebudayaan UIAM kampus Gombak hari ini.

Program BUDI merupakan inisiatif bagi menyemai sikap berbudi dan berbahasa dalam kalangan warga UIAM. Oleh sebab UIAM mempunyai ramai kakitangan dan pelajar antarabangsa, program ini dapat mempamerkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia secara amnya dan budaya masyarakat Melayu secara khususnya kepada mereka.

Banyak program BUDI telah dijalankan oleh Pusat Jaringan Komuniti@BUDI seperti aktiviti kemasyarakatan di perkampungan orang Asli, program motivasi di sekolah-sekolah, khidmat masyarakat untuk gelandangan dan pelbagai lagi.

“Amalan budi bukan hanya gotong- royong, bertegur sapa atau memberi salam sahaja tetapi menjurus kepada sahsiah malah kita akan mewujudkan komuniti universiti yang harmoni. Sekiranya ada universiti lain yang ingin melaksanakannya, UIAM sedia bekerjasama”, ujar beliau yang juga penasihat kerajaan dalam Hal Ehwal Sosio Budaya.

Hasil program mahabbah yang dijalankan di Perkampungan Orang Asli Gombak pada tahun lepas, UIAM menawarkan tempat untuk pasangan kembar anak orang Asli melanjutkan pengajian mereka di Pusat Asasi UIAM dalam bidang pendidikan. Pasangan kembar tersebut ialah Amelia a/p Ahmad dan Amelina a/p Ahmad. Dalam majlis yang sama mereka menerima sumbangan bantuan kewangan untuk kegunaan sepanjang pengajian di UIAM.

Sementara itu, dalam majlis yang sama warga UIAM melafazkan Ikrar BUDI sebagai satu simbolik setiap aktiviti yang dijalankan perlu diterapkan nilai-nilai berimpak positif kepada warga kampus dan juga masyarakat setempat. Lafaz ikrar budi ini diwakili oleh Presiden-Presiden Kesatuan Sekerja UIAM, wakil Majlis Perwakilan Pelajar dan Mahallah, pelajar antarabangsa serta pengetua-pengetua Mahallah (Kolej Kediaman) UIAM.

Tan Sri Dr.Rais Yatim turut melancarkan Mahabbah Food Program iaitu satu usaha yang dijalankan oleh Pejabat Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar untuk membuat tabung bantuan kepada para pelajar yang memerlukan bantuan sara hidup. Setiap pelajar yang memerlukan bantuan akan diberikan kupon atau baucar makan untuk membeli makanan.

Swiss Medicare Sdn Bhd menerusi Phonak Malaysia pula menyampaikan replika cek bernilai RM98,800 yang disampaikan oleh Vincent Chong, Pengurus Urusan Swiss Medicare Sdn Bhd kepada Presiden UIAM. Swiss Medicare Sdn Bhd turut memberikan 16 pasang alat bantuan pendengaran untuk sekumpulan pensyarah mengadakan penyelidikan yang diketuai oleh Dr. Ahmad Aidi Arafat Dzulkarnain daripada Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu UIAM.

Tinggalkan komen anda