Skip to main content
HomeViral

151 979 Pelajar Antarabangsa Berdaftar di IPT Malaysia 2015

By 31 Mac 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

 Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

CYBERJAYA, 31 Mac (Malaysiaktif) –? Seramai 151 979 pelajar antarabangsa berdaftar di Insititut Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia sepanjang tahun lalu.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Idris Jusoh, 80 peratus daripada jumlah tersebut berdaftar di IPT Semenanjung yang menunjukkan peningkatan hampir 12 peratus berbanding 2014.

Sementara itu, Idris turut mengumumkan mulai 15 Mac 2016, pelajar antarabangsa mempunyai pilihan untuk memohon Pas Pelajar secara dalam talian terus kepada Education Malaysia Global Services (EMGS) setelah menerima surat tawaran belajar daripada IPT berdaftar.

EMGS yang merupakan pusat sehenti bagi pengurusan dan perkhidmatan pelajar antarabangsa telah ditubuhkan oleh KPT pada 2012 kini membuka pejabat kedua di Cyberjaya yang dikenali sebagai Pusat Perkhidmatan Pelajar dengan menempatkan Unit Pas Pelajar, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Turut diperkenalkan ialah Pas Pelajar serta i-kad sepanjang tempoh pengajian yang tidak memerlukan pelajar untuk membuat pembaharuan pas setiap tahun.

“Sebelum ini kerumitan timbul apabila pelajar perlu memperbaharui pas mereka setiap kali sebelum meninggalkan Malaysia.

Walaupun diberi kelonggaran, pihak IPT wajib mengemukakan keputusan akademik tahunan serta bukti kehadiran pelajar ke kuliah kepada EMGS. Kegagalan berbuat demikian membawa kepada pembatalan pas,” tambah Idris.

Idris ditemui ketika melawat Pusat Perkhidmatan Pelajar EMGS di sini petang semalam.

Tinggalkan komen anda