Oleh: Diyana Zamri (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Pesta buku bukanlah perkara yang asing di Malaysia tetapi pesta buku bertema jarang sekali didengar. MPH Bookstores cuba membawa kelainan dengan menganjurkan pesta buku bertema yang pertama di Malaysia.
Memasuki tahun ketiga sejak diperkenalkan pada 2014, Pesta Buku Antarabangsa Putrajaya (PIBF) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ini bertemakan ‘Bookerville Carnival’.
Menariknya, MPH turut memperkenalkan Showbag berkonsepkan taman tema yang mengandungi campuran buku, alat tulis, cenderamata dan alat permainan yang bernilai lebih RM300. Showbag ini dijual dengan harga RM110 bersempena sambutan 110 tahun sejak penubuhan MPH.
Menurut Pengurus Operasi MPH Bookstores, Zarina Ahmad Zaki ketika ditemui petang semalam berkata PIBF ini diadakan bagi memudahkan masyarakat untuk mendekatkan diri dengan buku.
“Pesta buku ini bukan kerana harga murah semata-mata namun sebagai satu pusat sehenti yang mengumpulkan lebih banyak judul buku, alat tulis, cenderamata dan alat permainan berbanding kedai buku biasa,” katanya.
Seorang pengunjung, Yusmawati Maskor, 31, turut bersetuju apabila mengatakan tujuan dia ke PIBF adalah untuk mencari buku-buku yang tidak dapat diperoleh di kedai buku biasa.
Pasangan suami isteri, Daniel Tan dan Eve Soo, masing-masing 38 tahun, pula mengatakan mereka ke PIBF dari Cheras semata-mata untuk mencari bahan bacaan untuk anak-anak mereka.
“Kami juga ke sini kerana harga barangan di pesta buku ini lebih murah dan kawasannya yang tidak sesak,” tambah Eve.
Sementara itu, menurut Eksekutif Pemasaran MPH Bookstores, Haziq Zulkifli, 27, pengunjung boleh mendapatkan buku-buku, alat tulis, cenderamata serta alat permainan terpilih dengan diskaun sehingga 70 peratus.
Pesta buku selama enam hari yang akan tamat pada 3 April ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti demonstrasi komik, persembahan maskot, pertandingan mewarna, dan forum buku.