Oleh Asmidar Zainol & Shahvian Muhammad Razali (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Mac (Malaysiaktif) –? Tan Sri Bernard Dompok yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Holy See, Vatican mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, semalam.
Menurut Dompok, kunjungan tersebut untuk memaklumkan kepada Tun Juhar berkenaan pelantikannya sebelum berangkat pertengahan April ini.
“Pelantikan ini merupakan pelantikan pertama selepas Malaysia mengadakan hubungan diplomatik bersama Holy See pada Julai 2011.
Selain itu, pertemuan bersama Tun juga adalah untuk bertukar fikiran dan pandangan.
Negara perlu merancang kerjasama yang boleh dilakukan dengan negara lain. Buat permulaan, kita mungkin akan mengadakan perbincangan dan penganjuran dialog antara agama,” katanya.
Tambah Dompok, Malaysia boleh memainkan peranan yang lebih besar sebagai perantara mtentangi isu semasa yang berkaitan, memandangkan Malaysia dan Holy See mempunyai pendirian yang sama tentang agama sebagai contoh isu berkaitan Palestin.
Dompok turut mengharapkan melalui pelantikan ini akan memberi peluang kepada badan-badan keagamaan untuk menyumbang ke arah yang lebih baik bukan sahaja kepada kedua-dua negara tetapi juga kepada dunia amnya.
Malaysia menjadi negara ke-179 yang mengadakan hubungan diplomatik dengan Holy See.