Oleh Asmidar Zainol & Ahmad Marif Hj Ag.Damit (Sabah)
KOTA KINABALU, 24 Mac (Malaysiaktif) –? Gam Pelekat Tahan Air dan Topi Keledar Pintar dengan Sistem Penggera berjaya menewaskan 50 penyertaan Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Politeknik ke-12 (ProjeX-12) sesi Disember 2015 di sini baru-baru ini.
ProjeX ialah aktiviti program tahunan yang melibatkan pelajar diploma semesta enam daripada lima jabatan utama di pusat pengajian tersebut.
Menurut Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Siringan Gubat, aspek inovasi merupakan penanda aras baharu global yang menuntut keupayaan penciptaan, unik dan bermanfaat serta mampu menjadi pemangkin kepada transformasi kesejahteraan negara.
“Program ini berupaya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya generasi muda tentang pentingnya inovasi dan kreativiti sebagai budaya hidup seiring dengan konsep 1Malaysia,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Roslee Yahya berkata seramai 200 pelajar daripada lima buah jabatan terlibat dalam pertandingan ini iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, Pelancongan dan Hospitaliti dan Perdagangan.
“Selain memenuhi keperluan kurikulum, program ini merupakan platform kepada pelajar mempamerkan bakat mengaplikasikan kemahiran teknikal dalam bidang diceburi, “ jelasnya.
Wakil johan pertandingan kategori Bukan Kejuruteraan, Mohd Abid Satinin, 21, berkata ini ialah projek berkumpulan bagi tahun akhir pengajian. Kumpulan Abid memperuntukkan setahun bagi menyiapkan produk Gam Pelekat Tahan Air yang dinamakan sebagai Es’Gue hasil campuran gam, pencair (thinner) dan bahan perwarna.
“Setakat ini kami mendapat tiga pengedar berminat menjual produk ini di sekitar Kota Kinabalu.
“Harga amat berpatutan iaitu 50 mililiter dengan harga RM5 sebotol dan permintaan menggalakkan kerana gam ini mampu digunakan untuk peralatan yang lembab atau basah.
“Kami berharap gam ini dapat dipatenkan, seterusnya dipasarkan di seluruh negara,” katanya.
Wakil Johan Kategori Kejuruteraan, Mohd Dzuhairie Japri, 21, pula tidak menyangka ciptaan sebuah Topi Kaledar Pintar dengan Sistem Penggera bertujuan mendisplinkan penunggang motosikal agar sentiasa menggunakan topi keledar dengan kemas dinobat sebagai pemenang.
Dzuhairie menjelaskan keistimewaan ciptaan ini apabila penunggang memakai topi keledar dengan betul iaitu dengan memasang klip buckle, barulah enjin motosikal dapat dihidupkan.
“Topi keledar ini juga bertindak sebagai suis utama membenarkan enjin motosikal dihidupkan, oleh itu, kami menambah sistem penggera yang dapat memberi maklum balas sekiranya berlaku kecurian.
Tambah Dzuhairie, idea mencipta topi keledar ini berdasarkan pengalaman sebagai penunggang motosikal selain sedar bahawa penggunaan topi keledar adalah penting untuk mengurangkan kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.
“Kami berharap hasil ciptaan ini dapat dikomersialkan memandangkan harganya lebih murah iaitu RM260 berbanding harga di pasaran sekarang RM382,” ujarnya lagi.
Kedua-dua kumpulan bakal mewakili pusat pengajian tersebut ke pertandingan antara politeknik peringkat kebangsaan mahupun pertandingan anjuran agensi-agensi berkaitan.
Hasil produk inovasi ini akan didaftarkan di bawah Perlindungan Hak Intelektual (MyIPO) iaitu di bawah Paten Utility Innovation (IU).
Johan menerima wang tunai RM500, hamper, sijil dan pingat.