Skip to main content
Berita TempatanSabah

HandMade Market Platform Wanita Jana Pendapatan Keluarga

By 25 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus & Saiful Rahman Sabri (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 24 Mac  (Malaysiaktif) –?  Sehingga kini seramai 168 orang perintis telah mendaftar bagi Program Handmade Market (HMM) yang membolehkan kaum hawa  menjana pendapatan sekali gus meningkatkan sosioekonomi sesebuah keluarga.

Program usaha sama Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) dan Pusat Latihan Kraf tangan Epal (Epal) ini banyak membantu golongan wanita terutama ibu tunggal, kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU) untuk berdikari menjana pendapatan menerusi keusahawanan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid berkata program ini ibarat suatu mesej bahawa tugasan seseorang wanita merangkumi aktiviti sebagai pengurus rumah tangga, pencari nafkah dan penyalur sumbangan untuk masyarakat.

?”Kita dapat melihat bagaimana seorang ibu menggunakan kehalusan tangan untuk menjadi wanita cemerlang serta seimbang sebagai usaha membaiki ekonomi keluarga,” katanya.?

Tambah Jainab, kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan pusat beli-belah dan pasar raya seperti Suria Sabah, City Mall, Giant dan Wisma Wanita untuk memberikan tapak jualan secara percuma sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka kepada masyarakat.

“Badan bukan kerajaan (NGO) perlu mencontohi inisiatif sebegini supaya dapat memberikan platform kepada wanita Malaysia menunjukkan kapasiti diri dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan,” tambahnya ketika merasmikan Handmade Market (HMM) di Wisma Wanita semalam.

Menurut Pengerusi PSJK dan Pusat Epal, Fully Chye Goet Lee, program ini menggunakan konsep dua bulan setengah untuk menghasilkan produk di rumah manakala lima hari berniaga serta mencari peluang rangkaian niaga di HMM.

“Dengan konsep tersebut diharap misi ini dapat merealisasikan matlamat 3P (Pendapatan, Pengalaman, Pengenalan) di setiap pusat beli-belah.

“Setiap produk yang dijual ialah hasil buatan tangan (handmade) dan unik,” ujarnya.

Sementara itu, seorang perintis HMM, Nazariah Jalib, 42, menjelaskan dia telah menghasilkan hampir seribu beg tangan pelbagai jenis sejak mula menjahit pada 2012 dan teruja untuk menyertai HMM.

HMM yang pertama akan diadakan pada pertengahan Mei 2016 di Suria Sabah.

Tinggalkan komen anda