Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ibu Bapa Digesa Pantau Remaja Tangani Vape

By 22 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

    Oleh: Zuraidah Ahmad &  Vicky Sylverster Matanjang (Sabah)

KUDAT, 22 Mac (Malaysiaktif) –? Ibu bapa digesa memantau pergerakan anak-anak remaja untuk menangani trend penagihan dan pengedaran dadah menerusi media sosial dan penggunaan rokok eletronik, vape.

Menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayid memandangkan usaha pendidikan bermula dari rumah, ibu bapa perlu memainkan peranan membimbing serta melengkapkan anak-anak mereka dengan nilai-nilai murni serta ilmu agama.

“Kita menyeru kepada para ibu bapa supaya dapat melindungi anak-anak remaja daripada terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah.

“Pada masa ini, trend pengedaran dadah telah menembusi laman sosial dan pelbagai lagi kaedah yang tidak disangka yang memerlukan masyarakat berfikir di luar kotak pemikiran,” ujarnya.

Malah, Jainab yang juga Naib Yang DiPertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) berkata penggunaan vape yang kini menjadi trend dan kegilaan golongan remaja juga telah disalah guna dengan campuran bahan terlarang yang boleh mengundang bahaya kepada orang sekeliling.

“Kepulan asap vape secara tidak langsung akan masuk ke dalam badan orang sekeliling melalui udara dan ini akan memudaratkan kesihatan.

“Selain kandungan ganja dan sebagainya, pengguna vape juga terdedah dengan kecederaan akibat letupan alat itu,” katanya ketika berucap merasmikan Penutupan Kem Maju Diri Pelajar 1Malaysia di Pusat Kokurikulum Kem Pinawantai, jumaat lalu.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada para fasilitator yang telah memimpin 52 pelajar yang terlibat dalam kem dijalankan selama empat hari tiga malam.

Sebagai Pengerusi PEMADAM Negeri Sabah, Jainab turut mencadangkan agar semua program atau aktiviti persatuan itu diadakan secara bersepadu (NBOS) supaya kesannya akan lebih efektif.

Justeru, beliau mengumumkan peruntukan RM5,000 sumbangan PEMADAM dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta gotong-royong bagi menaik taraf kem tersebut akan diselaraskan oleh Pejabat Daerah.

Tinggalkan komen anda