Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Keringat Rezeki Menyunkur Geragau Di Pantai Puteri

By 10 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh M.Zakry Chan (Melaka)

 MELAKA, 10 Mac (Malaysiaaktif) — Menyunkur Udang Geragau adalah amalan tradisi masyarakat persisiran Pantai Puteri Tanjung Kling di sini yang masih bertahan walaupun diasak arus perubahan.

Udang Geragau amat sinonim dengan masyarakat persisiran Pantai Puteri dan Klebang kerana ia bahan utama untuk menghasilkan Belacan dan Cencaluk yang terkenal di negeri Melaka.

 

20160310025341

 

Namun demikian, ramai tidak sedar akan keringat peluh jerih para nelayan menyunkur Udang Geragau yang mengunakan seluruh tenaga meredah gelombang dan ombak dan berjalan sepanjang pantai dengan penuh harapan supaya rezeki hari ini lebih baik daripada semalam.

Seorang pesara tentera, Abu Samah Zainul 49, yang menjadikan menyunkur geragau ini sebagai punca rezekinya berkata kehadiran geragau amat kurang berbanding 15 tahun dahulu apabila sekali menyunkur boleh memperoleh dari 20kg hingga ke 30kg geragau berbanding kini hanya sekitar 2kg hingga 5kg sahaja bergantung kepada keadaan air dan rezeki.

 

20160310024206 (1)

 

“Punca berkurangannya geragau adalah disebabkan pembangunan di persekitaran Pantai Puteri dan juga penambakan laut, namun itu harga harus dibayar kerana pembangunan tidak boleh dielakkan dalam kita ingin mengecap kemajuan,” jelasnya kepada wartawan Malaysiaaktif.

“Kebiasaannya pembeli udang geragau tunggu seawal pukul 12.00 tengahari untuk mendapatkan geragau segar terus dari pantai dan hasil geragau sememangnya tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang sentiasa meningkat dalam kalangan masyarakat,” ujar Sidek Jantan, 68 atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Dara di kalangan masyarakat tempatan.

Menyunkur dan Udang Geragau ibarat irama dan lagu mengisi suasana masyarakat Pantai Puteri yang permai.

 

Tinggalkan komen anda