Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

Nafi Dibeli: RM20,000 Tak Cukup Untuk Tutup Mulut

By 22 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Noriah Athan (Rawang)

RAWANG, 22 Mac (Malaysiaaktif) — Balu penyiasat persendirian Bala Krishnan (PI Bala), A.Santamilselvi menafikan yang dirinya telah ‘dibeli’ oleh mana – mana pihak, susulan kenyataannya baru- baru ini yang membuat permohonan maaf secara terbuka kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Santamilselvi berkata, permohonan maaf yang dibuat kepada Rosmah adalah susulan tuduhan mengatakan yang beliau membunuh suaminya, dalam siri ceramah yang pernah dihadirinya dahulu. Menurutnya, kata-kata yang keluar daripada mulutnya adalah ekoran daripada perasaan marah dan emosi seorang isteri yang terganggu setelah kematian suami, kerana perlu membesarkan tiga orang anak bersendirian’.

“RM20,000 tidak cukup untuk menutup mulut saya. Tujuan saya menarik balik kes saman terhadap Perdana Menteri adalah ekoran daripada penarikan diri peguam saya, Americk Singh Sidhu daripada kes tersebut. Keputusan yang saya buat ini adalah kehendak saya sendiri, tanpa paksaan atau hasutan dari mana – mana pihak, ” katanya.

Beliau ditemui di rumahnya selepas menerima sumbangan sebanyak RM21,050 daripada NGO Pertuhuhan Minda dan Sosial Prihatin hari ini.

Katanya, dia memerlukan kos yang besar untuk pendidikan anak-anaknya disebabkan tidak fasih berbahasa Melayu kerana membesar di India.

“Anak bongsu saya hanya pulang ke Malaysia beberapa tahun lepas dan perlu mempelajari bahasa melayu untuk memahami subjek yang diajar di sekolah menengah.

“Sebanyak RM800 diperlukan untuk kos tuisyen dan RM9,800 untuk yuran kolej dua lagi anak saya. Pendapatan saya dari tabika dan kelas tuisyen yang dibuat bersebelahan rumah tak cukup untuk meneruskan kehidupam kami,” katanya.

Tambahnya, beliau terguris dengan kecaman segelintir masyarakat yang menuduhnya jahat dan mudah dibeli.

“Saya sedih bila baca komen masyarakat yang menuduh saya jahat kerana mempunyai tatu sedangkan tatu yang dibuat adalah tanda kasih saya kepada suami dan mahu mengingatinya sampai bila-bila.

“Jika mahu bantu saya bantulah tapi jangan menghina kerana anda tidak berada di situasi saya,”katanya.

 

Tinggalkan komen anda