Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Peminat Astronomi Teruja lihat Gerhana Di Putatan

By 9 Mac 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus & Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 9 Mac (Malaysiaktif) –? Fenomena gerhana matahari fasa separa berjaya menarik ramai peminat Astronomi berkumpul bersama di Balai Cerap Al Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, pagi tadi bagi menyaksikan fenomena alam tersebut seawal jam 7.00 pagi lagi.

Menurut Ketua Bahagian Falak, Pejabat Mufti Sabah, Ustaz Mohd Jumat Abdul Razak Al Belurani, pihak kami telah membuat persiapan seminggu lebih awal bagi  memastikan proses cerapan pada hari ini berjalan lancar.

“Selain itu, solat sunat gerhana dan khutbah khas gerhana juga diadakan bagi mengingatkan umat islam mengenai kebesaran Allah SWT  serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, Semenanjung Malaysia, kepulauan Borneo termasuk Negeri Sabah adalah antara tempat yang mengalami gerhana matahari fasa separa.

 

6_AJM8540

 

“gerhana matahari penuh hanya boleh dilihat di Palembang dan kepulauan Ternate, Maluku Utara , Indnonesia,” tambahnya.

Menurut beliau, sentuhan pertama bulan ke matahari telah terjadi pada 7.32 pagi, fasa kemuncak gerhana pula terjadi pada jam 8.40 pagi dan fasa sentuhan akhir bulan ke matahari pula terjadi kira-kira jam 9.57 pagi.

Selain dari Pejabat Mufti sebagai urusetia, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Sabah Stargazer dan Jabatan Penerangan Negeri Sabah turut serta dalam aktiviti pencerapan tersebut.

 

12_AJM8661

 

Sebelum fasa kemuncak gerhana matahari, kira-kira 300 umat Islam telah mendirikan solat sunat gerhana  di Masjid Al Hilal, Putatan. Solat sunat telah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Ustaz Mohd Hisham Yahya dan diikuti khutbah khas gerhana yang telah disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Sabah, Sohibul Fadilah Ustaz Hamdani Omar.

Pada Khutbah tersebut umat Islam telah diajak untuk memahami asbab dan musabab gerhana ini berlaku bagi mengetahui perkara tersurat serta tersirat agar umat Islam menjadi peneraju dunia di satu masa nanti.

Sementara itu Pengarah Balai Cerap, Sabah Stargazer, Harris Jeffrey merasa gembira kerana dapat berkongsi ilmu astronomi dengan orang awam pada cerapan gerhana kali ini.

 

8_AJM8568

 

“kami amat beruntung dapat menyebarkan ilmu dan pengalaman kami dalam bidang falak dengan orang awam pada hari ini.

“Memang menjadi visi Persatuan kami untuk menyebarkan luaskan ilmu astronomi dan akan merancang pelbagai program terutamanya di sekolah-sekolah seluruh Sabah, ” jelasnya.

Kegembiraan itu turut dikongsi oleh Cheong Weng Kit, 46 yang ditemani isteri dan dua orang anaknya menyaksikan fenomena gerhana.

“Saya mula meminati bidang astronomi semasa menuntut di Amerika Syarikat, kini kami sekeluarga berkongsi minat yang sama,” jelasnya.

Bagi seorang penjawat awam, Haslan Sanadi, 33, beliau juga tidak mahu terlepas menyaksikan fenomena gerhana kali ini.

 

13_AJM8649

 

“Saya amat teruja dapat melihat fenomena ini dengan lebih jelas menggunakan kemudahan teleskop dan alat tradisional lain yang telah disediakan oleh pihak penganjur.

“Saya amat kagum dengan kebesaran Allah dan peristiwa ini banyak menginsafkan saya,” ujarnya.

Cerapan gerhana juga mendapat sambutan daripada golongan pelajar sekolah di sekitar Kota Kinabalu. Seorang pelajar dari SMK Kinarut ,Awg Ku Mohd Tajuddin b. Mohd Tasin, 17, merasa puas apabila dipilih untuk datang menyaksikan fenomena gerhana ini disini.

“Saya amat seronok dan meminati bidang astronomi sejak kecil lagi.

” Ini adalah pengalaman kedua saya menyaksikan fenomena gerhana dan ianya kenangan manis dalam hidup saya, ” jelasnya.

Fenomena gerhana matahari separa kali terakhir dapat dilihat di Sabah pada tahun 2013 dan dijangka akan berlaku semula pada 26 Disember 2019 manakala gerhana matahari hampir penuh dapat dilihat di Pontianak, Indonesia juga pada tarikh yang sama.

 

 

Tinggalkan komen anda