
Oleh Amran Mohd Kamis/ Zurina Saad/Mohd Hairul Bakar (Yan)
YAN, 30 Mac (Malaysiaaktif) — Setelah lebih dua bulan dilanda kemarau dan haba kepanasan berikutan fenomena El Nino, penduduk Kampung Singkir di sini terpaksa berdepan dengan krisis air pula.
Walaupun pihak Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) sedang berusaha mengatasi masalah ini dengan menghantar bekalan air bersih setiap dua hari, namun ia masih tidak mencukupi.
Penduduk kampung terpaksa menyediakan banyak bekas dan tong untuk mengambil air dari lori yang dihantar ke kawasan mereka.
Menurut seorang penduduk, Zainab Hassan, 60, ketiadaan bekalan air sejak dua bulan lalu menimbulkan pelbagai kesulitan, terutama untuk kegunaan harian. Selain itru, beliau juga mengeluh kerana ketiadaan bekalan air turut memberi kesan kepada pokok-pokok hiasan di laman rumahnya.
Dalam pada itu, pendapatannya sebagai seorang ibu tunggal juga terjejas kerana tanaman yang diusahakan habis mati.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Singkir Laut, Sobri Ahmad, 57, mencadangkan agar pihak berkenaan menyediakan telaga tiub bagi mengatasi masalah sebegini di masa- masa akan datang.