Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Siswa-Siswi Diminta Kurangkan Jurang Ketidakseimbangan antara Kaum

By 23 Mac 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh: Haji Ramly Yusoff

ARAU, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Peserta Program Diskusi Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dicabar supaya membaiki ketidakseimbangan ekonomi dan sosial antara kaum di Malaysia dengan membaiki diri terlebih dahulu.

Semua pelajar yang merupakan Gen Y, khasnya penuntut Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis dirayu supaya membaiki kelemahan diri dari segi sikap, kemahiran dan ilmu pengetahuan supaya cemerlang bersaing di pasaran kerja serta mampu menyumbang dengan berkesan kepada negara.

Ketika merasmikan Siri Pertama 2016 Program Diskusi Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Arau, Perlis Sabtu lepas, Ahli Mesyuarat Kerajaan Perlis, Haji Jefperi Othman peserta diminta supaya membaiki ketidakseimbangan antara Bumiputera dengan masyarakat lain di negara ini segera dijadikan fokus utama.

“Baiki diri dan pencapaian anda semasa menuntut di pusat pengajian tinggi untuk membaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi di Malaysia,” tegasnya.

Seterusnya, Jefperi turut meminta semua pelajar memahami sistem demokrasi berparlimen yang memerlukan kestabilan politik dan setiap masa kerajaan memerlukan 148 kerusi parlimen secara dua pertiga daripada jumlah 222 kerusi di parlimen.

Tanpa dua pertiga kerajaan akan menjadi lemah dan tidak mampu memerintah secara berkesan.

Beliau turut menggesa para pelajar memahami sejarah dan peranan Raja ke arah perpaduan dan kestabilan negara.

Diskusi ini dipengerusikan oleh Encik Sakimin Ahmad, Pegawai Kanan Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan bersama pakar rujuk, Encik Muhamad Izmeer Yusof, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Malaysia Perlis.

Tinggalkan komen anda