Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganuViral

Sultan Mahu Kerajaan Negeri Lebih Cekap Mengurus

By 7 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Nabilahaishah Tawang / Foto Shuhaimi Ahmad

KUALA TERENGGANU, 7 Mac (Malaysiaaktif) — Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin meminta Kerajaan Negeri lebih cekap dalam urusan pentadbiran bagi meningkatkan  taraf hidup rakyat, selain memastikan rakyat negeri ini terbela.

“Walaupun negara mengalami cabaran yang ketara sejak kebelakangan ini, terutamanya ekonomi, kerajaan perlu mempelbagaikan lagi usaha untuk membawa rakyat ke garisan ‘selamat’ daripada berada pada tahap kemiskinan tegar,” ujar Sultan Mizan Zainal Abidin ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-13 di Wisma Darul Iman hari ini.

Sempena istiadat itu, Sultan Terengganu memeriksa perbarisan terdiri daripada 105 pegawai dan anggota Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am Kem Bukit Galing, Kuantan, Pahang.

Baginda bertitah, kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat perlu diberi perhatian oleh kerajaan, seperti memperbanyakkan program atau pembangunan berkaitan.

Baginda meminta, kerajaan negeri memanfaatkan dana bantuan yang diperuntukkan dengan sebaik mungkin bagi kesejahteraan rakyat.

“Beta percaya Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman akan turut sama mengambil langkah-langkah proaktif selaras dengan Pengubahsuaian Bajet 2016,” jelas baginda lagi.

Sehubungan itu, baginda menyarankan supaya barisan kepimpinan menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh taat, ikhlas dan adil supaya dapat melahirkan pemimpin seperti yang diharapkan rakyat.

Selain kelancaran dari sudut kepimpinan, Sultan Terengganu turut mengharapkan lebih banyak kejayaan yang akan dicipta di peringkat negeri Terengganu dan negara supaya negeri ini menjadi lebih terserlah di mata umum.

Turut berangkat ke istiadat ini, Permaisuri Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

 

Tinggalkan komen anda