Skip to main content
Berita TempatanSabah

Hari Terbuka Armada TLDM Sabah Bermula Hari Ini

By 30 April 2016Mei 3rd, 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Muniyamma a/p Marapen & Mastim Kiriman (Sabah)

KOTA KINABALU, 30 Apr (Malaysiaktif) –? Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-82 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Hari Terbuka Armada TLDM Sabah diadakan bermula hari ini dan esok seawal jam lapan pagi di Jeti Pelabuhan Kota Kinabalu.

Menurut Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya, antara aktiviti menarik ialah lawatan kapal perang dan selam TLDM, Boat Ride, persembahan kawad senyap, restoran terapung, pameran jabatan dan agensi kerajaan serta program derma darah.

Khairul turut mengulas tentang Kapal Ronda KD Perak yang merupakan salah satu daripada dua kapal ronda generasi baharu yang menjadi aset utama sayap pertahanan negara bagi membantu dan menampung keperluan operasi yang tinggi untuk meningkatkan kawalan keselamatan di perairan negeri ini.

“Selain kapal Diraja (KD) Kedah dan Perak, TLDM Sabah akan menambah dua lagi aset seumpama bagi memastikan kita mempunyai aset pertahanan yang mencukupi untuk pelbagai tujuan.

“Penambahan itu merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Armada bagi memastikan mempunyai aset yang lebih canggih untuk menjaga kedaulatan Malaysia di perairan bersama agensi penguatkuasaan keselamatan yang lain.

“Dengan adanya aset yang mencukupi, kita mampu meningkatkan kesiapsagaan anggota dalam menangani pelbagai cabaran di perairan terutamanya aspek berkaitan keselamatan sejagat,” katanya ketika berucap pada Majlis Koktel  Bersama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah Tan Sri Datuk R.M Jasni di Jeti Pelabuhan Kota Kinabalu, Khamis malam.

SF

 

 

Tinggalkan komen anda