Oleh Dila Khamde (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Orang Asli bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2015, kepada 50 orang pelajar di sini, semalam.
Berucap pada majlis itu, Ismail Sabri berkata, seramai 33 calon SPM berjaya mencapai keputusan 6A ke atas dan 17 calon STPM telah mencapai keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.8 ke atas.
Dalam sidang media beliau berkata, kesemua nama pelajar anugerah cemerlang ini telah dihantar untuk persediaan ke luar negara. Walau bagaimanapun mereka masih perlu menduduki peperiksaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Menurut beliau, sejak 1971 hingga 2015, seramai 3,887 pelajar orang asli berjaya menyambung pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Daripada jumlah tersebut seramai 1,812 pelajar berjaya menamatkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang. Antaranya telah mendapat Doktor Falsafah (PhD), Sarjana dan Sarjana Muda. Ini menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat orang asli mengenai kepentingan pendidikan.
Tambah beliau, sasaran menjelang 2020 adalah untuk mengurangkan keciciran sebanyak 30 peratus.
Bagi pelajar Erin Nurhannah binti Ramli yang mendapat 9A dalam SPM, beliau gembira diberi Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan SPM 2015. Ketika ditemui, beliau berkata, usaha untuk memulakan persediaan awal bermula sejak dari tingkatan 5 dengan belajar secara berkumpulan bersama rakan-rakan, selain mendapat dorongan ibubapa.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia, Datuk Hasnan Hassan