
Oleh Noraidah Md Seh
ALOR GAJAH, 15 Apr (Malaysiaaktif) – Penduduk Alor Gajah terjejas teruk akibat air yang dibekalkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di hampir keseluruhan daerah ini berbau busuk sejak beberapa hari yang lalu.
Menurut penduduk Kampung Ganun, Kalsum Zainal, 58, dia berasa amat terganggu apabila air yang disalurkan oleh pihak SAMB ke rumah-rumah penduduk kampungnya mengalami masalah air berbau dan berminyak.
Tambahnya, hal ini menyebabkan penduduk mengalami kesukaran untuk melakukan kerja-kerja harian di rumah seperti memasak, membasuh dan mandi.
Masalah air ini dikatakan berpunca daripada kolam takungan yang dicuci oleh pihak SAMB bagi menyelenggara kolam tadahan mereka.
Sementara itu, penduduk di Taman Kasa Height, Alor Gajah, Haniza Haron 32, yang turut mengalami keadaan sedemikian berharap keadaan ini tidak berlarutan kerana rata-rata penduduk tidak mempunyai simpanan air yang mencukupi untuk kegunaan harian.
Keadaan ini dikhuatiri ramai kerana boleh menyebabkan kesan yang memudaratkan kepada penduduk kampung di Dun Gadek dan kawasan sekitarnya.
Penjelasan daripada pihak berkenaan tidak dapat diperoleh kerana hari ini Melaka cuti sempena Hari Pengisytiharan Melaka sebagai Bandar raya Bersejarah.
-DZ/AH