Oleh: Siti Asmah bt Mat Ali
CHEMOR, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Kesesakan yang terpaksa dihadapi oleh pengguna Jalan A1 di sini menjadi rutin harian masyarakat setempat terutamanya ketika waktu puncak, pergi dan balik kerja.
Jalan tersebut menghubungkan beberapa buah taman perumahan seperti Taman Mas, Taman Chepor Raya, Taman Chepor Jaya, dan penduduk Kampung Ulu Chepor.
Keadaan ini berlaku kerana pertambahan taman perumahan baharu, Meru Perdana. Jalan raya dua lorong di taman perumahan baharu ini bertukar menjadi satu lorong dan menyebabkan kesesakan sejurus sebelum tiba Sekolah Rendah Seri Al Ummah, Chemor.
Bagi penduduk Taman Chepor Raya, Norhashima Lokman, 36, dia sentiasa memastikan suaminya keluar awal pagi bagi mengelakkan kesesakan tersebut.
Manakala, menurut Normah Mohammad, 46, keadaan sesak ini tidak akan berlaku sekiranya pihak berwajib memperlebar atau menambahkan satu lagi lorong di jalan tersebut.
Malaysiaaktif menghubungi Pegawai Bahagian Aduan Pelanggan, JKR Daerah Kinta, Sharifah Haryani Syed Mohammad untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Menurutnya, pihak JKR Daerah Kinta telah memohon peruntukan untuk melebarkan jalan raya berkenaan dan kini permohonan tersebut telah dimasukkan ke dalam senarai Rancangan Malaysia Ke-11.
-DZ/SF