Oleh: Zuraidah Ahmad & IPD KK (Sabah)
KOTA KINABALU, 30 Apr (Malaysiaktif) –? Cuaca buruk dan laut bergelora dipercayai punca berlakunya insiden bot pelancong karam di perairan hadapan Sutera Harbour Resort pada petang Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah, ACP M. Chandra dalam satu kenyataan di sini, kejadian pada lebih kurang 4.00 petang itu berlaku ketika sekumpulan pelancong dalam perjalanan balik selepas aktiviti memancing di Pulau Tiga dan Pulau Memutik.
“Mereka terdiri daripada tujuh lelaki warga Hong Kong berumur antara 42 hingga 60 tahun bersama dua lelaki warga negara termasuk nakhoda bot berkenaan, masing-masing berusia 32 dan 40 tahun.
“Bot persendirian yang digunakan itu ialah jenis fiber dengan ukuran panjang 28 kaki dan bertolak dari Jeti Kg Sembulan pada 8.00 pagi.
“Dalam perjalanan balik, kira-kira 3.30 petang, angin kencang dan laut bergelora menyebabkan bot mereka secara tiba-tiba dipukul ombak besar dan terbalik.
“Semua mangsa termasuk nakhoda telah tercampak ke dalam laut dan mereka berpaut di belakang bot berkenaan,” ujarnya.
Jelas Chandra, lebih kurang 20 minit Bot Ronda Polis Marin RH29 yang menjalankan operasi berada di kawasan tersebut dan telah menyelamatkan semua mangsa.
Bot bantuan seterusnya tiba 10 minit kemudian juga melibatkan Bot Ronda Polis Marin RH51 dan RH52.
Dua daripada pelancong itu katanya mengalami kecederaan ringan dan luka-luka kecil manakala mangsa lain dalam keadaan baik.
Tambahnya, bot tersebut ditarik dan dibawa ke Pangkalan Polis Marin untuk tindakan lanjut.
SF