Oleh Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur) / Foto PKJKS
SETIAWANGSA, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Prihatin dengan nasib gelandangan kota, sekumpulan belia dari Persatuan Kebajikan Jalinan Kasih Setiawangsa (PKJKS) dan Gabungan Belia Setiawangsa tampil menghulurkan bantuan kepada gelandangan di sekitar Pasar Seni, Kota Raya dan Dayabumi malam tadi.
Mereka berjaya mengumpulkan hampir seribu bungkusan makanan, minuman serta keperluan lain, seperti alas tidur dan pakaian untuk diedarkan.
Menurut Pengerusi PKJKS, Muhamad Asbullah Maulana, usaha seumpama ini sering dilakukan, terutama dalam Kawasan Parlimen Setiawangsa di mana yang lebih diutamakan golongan Asnaf, Orang Kurang Upaya dan Warga Emas.
Katanya lagi, “Kali ini, kami meluaskan bantuan ke kawasan luar dan memberikan tumpuan kepada golongan gelandangan kota”.
Tujuan program ini adalah untuk mendidik belia agar prihatin dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Buat masa ini, sokongan daripada semua ahli amat menggalakkan dan kami berharap usaha ini akan dapat diteruskan setiap bulan dengan sokongan daripada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) setempat”, beliau berkata.
Seramai hampir 30 orang sukarelawan belia Setiawangsa hadir untuk bersama menjayakan Program Help The Homeless.