Oleh: Mohd Zahari Zakaria (Permatang Pauh)
PERMATANG PAUH, 5 April (Malaysiaaktif) – Cuaca panas dan kering dengan suhu sekitar 33 darjah celsius di Pulau Pinang hari ini menyebabkan berlakunya kebakaran hutan belukar di Berapit.
Anggota Bomba Sukarela, Tan Jing Ching berkata demikian ketika ditemui wartawan Malaysiaaktif.
Menurutnya, kejadian berlaku berhampiran kawasan perkuburan Cina pada sekitar 2.30 petang.
Dua jentera bersama lapan anggota bomba daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bukit Mertajam dan pasukan Bomba Sukarela Berapit bergegas ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.
Tan turut berpesan kepada orang ramai supaya tidak membuang puntung rokok sesuka hati kerana perbuatan tersebut boleh menyumbang kepada berlakunya kebakaran.
Tambahnya, pembakaran terbuka juga perlu dielakkan kerana boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku terutamanya dalam keadaan cuaca ketika ini.