Oleh M. Zakri Chan (Melaka)
MELAKA 5Apr (Malaysiaaktif) – Musim panas yang panjang pada tahun ini kesan daripada fenomena El-Nino mengakibatkan beberapa empangan di Melaka mencatatkan penurunan paras takungan air.
Walau bagaimanapun, penurunan paras air di Empangan Durian Tunggal yang menjadi nadi bekalan air bagi negeri Melaka masih dalam keadaan terkawal, iaitu 58 peratus.
Ini kerana empangan tersebut mempunyai banyak sumber air yang dianggarkan sekitar 30 juta gelen air sehari dipam dari Sungai Gersik, Muar. Selain itu, ia juga boleh menerima bekalan dari Empangan Asahan dan sumber ‘Bunded Storage’ jika kadar penurunan berterusan berlaku.
Temuramah wartawan Malaysiaaktif bersama seorang petugas di Empangan Durian Tunggal pagi tadi mendapati sememangnya berlaku penurunan paras takungan tetapi tidak kritikal dan terkawal.
Beliau berkata disebabkan rupa bumi bahagian dasar empangan tersebut tidak rata maka ada sesentengah kawasan yang cetek kelihatan seperti penurunan kritikal hingga menimbulkan tanggapan negatif.
Terdahulu hari ini akhbar The Star melaporkan bahawa takungan air di Empangan Durian Tunggal sehingga semalam mencatatkan kadar 58 peratus, sementara Empangan Jus dan Asahan masing-masing 77 peratus dan 89 peratus.
Sementara itu, dalam mengambil pendirian berjaga-jaga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron menasihati penduduk supaya lebih serius menjimatkan air walaupun bekalan masih mencukupi.
Beliau berkata sekiranya kemarau berlarutan, kerajaan akan mengenakan catuan air dalam jangka masa sebulan jika tiada berlaku hujan di kawasan empangan.
Status Gelombang Haba setakat hari ini mendapati keseluruhan negeri melaka sudah mencecah Tahap 1 (Berjaga-jaga), iaitu suhu maksimum 35.0 º Celcius hingga 37 º Celcius selama tiga hari berturut-turut.