Skip to main content
Berita TempatanSabah

DBKK Lancar Bulan Pengampunan Caj Tiket Parkir

By 27 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Eviannie Kin Mei Hoon (Sabah) / Foto: Johnny G. Kimlon (Sabah)

KOTA KINABALU, 27 Apr (Malaysiaktif) –? Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melancarkan Program Bulan Pengampunan Caj Tiket Letak Kereta DBKK bagi semua tiket dan penyata letak kereta bermula serta-merta sehingga 10 Jun depan.

Menurut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ir. Edward Yong Oui Fah program ini memberi peluang kepada lebih 20 ribu pengguna yang telah dikenakan notis supaya membayar tunggakan caj tiket letak kenderaan mereka bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Selain itu, program ini juga menggalakkan pengguna lain yang belum dikenakan notis untuk tampil membuat pembayaran di samping memberi peluang untuk membayar caj fi sahaja (bayaran asas penggunaan ruang letak kereta) dan dikecualikan daripada caj denda.

“Ini juga satu langkah pemulihan atas kutipan tunggakan caj tiket letak kereta bagi memastikan tunggakan berjumlah RM6.6 juta melibatkan lebih 100 ribu kenderaan.

“Para pengguna boleh membayar tunggakan caj tiket letak kereta mereka dengan cara pembayaran ansuran yang dilanjutkan dari enam bulan hingga 18 bulan.

“Ini diharapkan dapat mengurangkan beban kewangan para pengguna terutama sempena Hari Pekerja yang akan datang,” katanya dalam sidang media Program Bulan Pengampunan Caj Tiket Letak Kereta DBKK, di sini, petang Selasa.

Beliau juga menyeru orang ramai agar mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan caj tiket letak kereta mereka bagi mengelakkan dikenakan caj penalti sebelum kes mereka dirujuk ke Mahkamah Bandaraya.

Jelasnya, caj penalti tempat letak kereta atau caj tambahan dan kos perundangan atau caj pentadbiran yang lain tidak akan dikenakan bagi mereka yang membayar caj tiket letak kereta mereka sepenuhnya.

Sementara itu, bagi menambah baik perkhidmatan penjualan kupon, lebih 300 premis perniagaan akan membantu menjual kupon letak kereta DBKK mulai Mei ini.

“Ini akan membantu 26 kaunter penjualan kupon letak kereta yang sedia ada,” tambahnya.

Antara premis perniagaan yang terlibat iaalah stesen minyak yang terpilih, kedai serbaneka 24 jam Orange, kedai telefon bimbit, kedai runcit dan premis makanan terpilih.

-SF

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda