Oleh Norhazlinawati Mat / Parameswary Lekshmnan (WPKL)
KUALA LUMPUR, 19 Apr (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke Radio Televisyen Malaysia (RTM), Angkasapuri sempena Sambutan Ulang Tahun RTM yang ke-70.
Kunjungan tersebut melibatkan seramai 19 pegawai dari Jabatan Penerangan WPKL yang diketuai oleh Penolong Pengarah Jabatan Penerangan WPKL Wan Zainal Shahriman Wan Husain.
Turut serta dalam program ini, tujuh orang Ahli Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (JKP-KKMM) yang terdiri daripada wakil Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) WPKL, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Cawangan Wilayah Tengah, Telekom Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Program dimulakan dengan sesi taklimat daripada pihak RTM yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Perhubungan Raya, Rohani Harithuddin, diikuti dengan perbincangan tentang usaha sama antara RTM bersama Jabatan Penerangan WPKL dan ahli JKP-KKMM yang lain.
Rombongan juga dibawa melawat ke Balai Berita TV, Studio Rakaman, Konti Radio, bagi mendedahkan mereka kepada perkembangan teknologi yang diguna pakai oleh badan penyiaran rasmi kerajaan itu.
Sementara itu, Wan Zainal Shahriman berharap agar RTM dan Jabatan Penerangan WPKL dapat meneruskan kerjasama yang terbina agar dapat membantu menyampaikan maklumat kepada masyarakat melalui program-program anjuran Jabatan dan Agensi di bawah KKMM.
-AAS