Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerakViral

Pesta Gagau Tasek Takong

By 3 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Md Sazali Ab Hamid (Pengkalan Hulu)

 

PENGKALAN HULU, 3 April (Malaysiaaktif) – Ketika negara dilanda cuaca panas melampau, satu pesta menangkap ikan telah diadakan di Tasek Takong, Perak semalam.

Pesta yang dikenali sebagai Pesta Gagau Tasek Takong ini diadakan berikutan pengeringan air Tasek Takong untuk kerja-kerja pembinaan Pasar Terapung.

Pelepasan peserta dilakukan oleh ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim pada pukul 9.00 pagi, setelah air di Tasek Takong mula surut.

Peserta dibenarkan menggunakan apa sahaja alatan termasuk jala dan pukat kecil untuk menangkap ikan dan udang yang terdapat di Tasek Takong.

Pihak penganjur telah menyediakan hadiah bagi dua kategori utama iaitu ikan terberat dan udang terberat.

Menurut pemenang bagi kategori ikan terberat, Ibrahim Khalid, 33, Pesta Gagau ini sesuai diadakan di tempat-tempat sebegini.

“Di samping membawa keluarga beriadah, saya juga dapat menangkap ikan dan saya harap pesta ini akan diadakan lagi pada masa akan datang dengan hadiah yang lebih lumayan,” ujar Ibrahim yang berjaya menangkap ikan seberat 4.25 kilogram (kg).

 

2b446fc1-a397-4a84-b7fd-5e3ad8019a07

Berjaya menarik lebih 500 peserta, pesta ini dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum dan negara, termasuk Betong dan Thailand.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman yang merasmikan majlis penutup pesta ini berkata, berikutan sambutan luar biasa, Pesta Gagau ini akan diadakan empat tahun sekali.

Becakap mengenai Pasar Terapung Tasek Takong, Hasbullah berkata kerja-kerja pembinaan pasar terapung ini akan mula dijalankan setelah air di Tasek Takong surut sepenuhnya.

Tambahnya, pasar terapung di Tasek Takong ini bukan sahaja akan menjadi yang pertama seumpamanya di negeri Perak, bahkan di Malaysia.

Pesta Gagau ini telah dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu dengan kerjasama Pentadbiran Daerah Pengkalan Hulu.

Tinggalkan komen anda