Oleh Mohd Syamsul Azhar (Ipoh)
“Bismillahirrahmanirahim,
Assalamualaikum hei tepung tawar tepung jati,
Aku tahu asal engkau mula menjadi,
Dijadikan Allah pada embun setitik,
Aku minta tawar sekalian yang biasa.”
IPOH, 4 Apr (Malaysiaaktif) – Itulah antara bait jampi yang lazim dipratikkan dalam tarian dabus yang sudah berakar umbi di tiga kawasan di Perak iaitu Kampung Tanjung Bidara (Kampung Gajah), Bagan Datoh dan Pasir Panjang Laut (Manjung).
Tahun ini, seni warisan tarian dabus merupakan antara seni warisan yang akan dipamerkan melalui Program Silang Budaya di enam buah muzium di Malaysia dengan negeri Perak sebagai tuan rumah pertama, bermula 1 hingga 30 April di Muzium Darul Ridzuan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Datuk Mohammed Radzi, pameran ini dapat mengangkat seni dan warisan untuk dipelihara dan perlu dilakukan secara berterusan supaya seni-seni unggul ini dapat dikekalkan untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
“Pelaksanaan program ini secara tidak langsung akan dapat menarik lebih banyak pelancong datang ke Perak sempena Tahun Melawat Perak 2016,” ujar Nolee Ashilin ketika Majlis Perasmian Program Silang Budaya 2016 di Muzium Darul Ridzuan pada pagi Isnin.
Berkonsepkan “travelling exhibition” atau pameran bergerak, program yang melibatkan lima lagi negeri ini akan ke Muzium Sultan Alam Shah, Selangor pada 11 Mei hingga 9 Jun, Muzium Negeri Johor pada 20 Jun hingga 19 Julai, Muzium Negara pada 30 Julai hingga 28 Ogos, Muzium Negeri Kedah pada 8 September hingga 7 Oktober dan berakhir dengan Muzium dan Galeri Seni Pulau Pinang pada 18 Oktober hingga 16 November ini.
Antara seni tarian warisan yang akan diketengahkan ialah Wayang Kulit Seri Ansun (Kedah), Cempuling (Selangor), Zapin Melayu (Johor), Gambus (Kuala Lumpur) dan Ghazal Party (Pulau Pinang).
Program anjuran Lembaga Muzium Negeri Perak dengan kerjasama Persatuan Muzium Malaysia ini bertujuan untuk memelihara, mendokumenkan dan mengangkat seni-seni tarian unggul setiap negeri di Malaysia di samping memberikan pendidikan seni, budaya dan warisan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, program Silang Budaya ini juga dijangka akan menarik minat pengiat-penggiat seni untuk turut sama menghayati dan memahami nilai-nilai seni tarian ini.
Seorang penggiat seni, Azmi Abdullah, 45, berkata seni-seni tarian ini perlu dipelihara dan dijaga supaya warisan turun temurun ini tidak pupus dan dapat diteruskan melalui program-program seni yang diadakan.
“Usaha yang berterusan perlu diadakan oleh agensi-agensi berkenaan untuk menarik minat generasi muda mempelajari dan mengekalkan seni tarian ini di samping dapat menonjolkan keunikan serta kelainan budaya masyarakat Melayu di seluruh dunia,” tambah Azmi.
-DZ/AH