Oleh: Diyana Zamri & Asmidar Zainol
KUCHING, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Tragedi kehilangan helikopter AS350/RP-C 6828 yang dinaiki enam orang termasuk juruterbang semalam berkemungkinan besar disebabkan air void.
Juruterbang Ujikaji di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur, Professor Madya Kapten Dr. Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata demikian ketika dihubungi petang tadi.
Katanya, air void ini berbeza dengan air pocket seperti yang selalu terjadi di negeri Sarawak.
“Air pocket ialah turbulence (gangguan) manakala air void ialah fenomena yang menyebabkan berlakunya keadaan tiada udara secara tiba-tiba yang hanya berlaku beberapa saat sahaja, namun cukup untuk menghempaskan pesawat kerana pesawat perlu udara untuk terapung.
“Air void berlaku disebabkan pergerakan udara yang menyebabkan tempat yang “ditinggalkan” angin menjadi void (kosong).
“Keadaan muka bumi Sarawak yang berbukit-bukau dan berlurah menyebabkan fenomena ini sering berlaku,” jelas Mohd Harridon.
Tambahnya lagi, berdasarkan gambar serpihan, helikopter tersebut berkemungkinan terlerai apabila menghempap tanah.
“Namun begitu, kita perlu lihat radius serpihan untuk kenal pasti sama ada kejadian tersebut adalah disebabkan cuaca atau kerosakan teknikal.”
Radius pencarian helikopter ini dibuat lima kilometer dari kedua-dua arah tempat penemuan serpihan tersebut.
Pagi tadi ketika sidang media di Pejabat Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan penemuan lima serpihan di Sungai Batang Lupar iaitu sebuah floatation device, sebuah kerusi, sebahagian pintu, dinding dan rotor blade.
SF