Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

[VIDEO] Anggota Keselamatan Keluar Undi Awal Hari ini

By 3 Mei 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Mohd Borhan Ahmad Ulis & Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Khirul Nizam Zanil

KUCHING, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Pegawai dan anggota keselamatan memulakan pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pagi ini.

Tinjauan di beberapa lokasi pusat mengundi mendapati proses membuang undi berjalan dengan lancar.

Di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Diraja Malaysia, Sarawak, para pengundi beratur seawal pukul 7.00 pagi bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Empat saluran mengundi dibuka, iaitu dua untuk kerusi N.08 Satok yang menyaksikan seramai 786 pengundi, satu saluran masing-masing untuk kerusi N.06 Tupong melibatkan 67 pengundi dan N.07 Samariang, 29 pengundi.

 

KNC_7670

 

Saluran mengundi dibuka sehingga pukul 5.00 petang, kecuali bagi N.07 Samariang yang ditutup pada pukul 2.00 petang kerana jumlah pengundi kurang daripada 50 orang.

Calon Barisan Nasional (BN) N.07 Satok, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg tiba di pusat mengundi awal pada pukul 9.44 pagi.

Turut kelihatan, calon BN untuk kerusi N.06 Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman, calon BN N.07 Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan juga Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.

 

KNC_7685

 

Tidak ketinggalan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi kerusi N.07 Samariang, Ustaz Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi.

Sementara itu, di lokasi kedua bertempat di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, Batu Kawa, hanya dua saluran dibuka untuk kerusi DUN N.14 Batu Kawa.

Saluran Satu melibatkan seramai 530 orang pengundi, manakala Saluran Dua, melibatkan 531 pengundi. Namun begitu, jumlah yang hadir untuk mengundi turut termasuk mereka yang membuat undi pos sebelum ini.

Calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) N.14, Christina Chiew Wang See tiba di Kem PGA pada 8.30 pagi sementara calon BN N.14, Datuk Dr. Sim Kui Hian tiba pada 9.40 pagi. Calon Bebas, Liu Thian Leong pula tidak dibenarkan masuk atas sebab tidak membawa dokumen-dokumen rasmi.

 

 

Tinjauan terakhir dilakukan di Kem 11 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD), Kem Semenggok, Batu 7 bagi kerusi DUN N.12, Kota Sentosa.

Menurut Penolong Pegawai Memerintah kem tersebut, Mejar Mohd Rizwan Abdullah, anggotanya telah beratur seawal pukul 7.00 pagi tadi.

Sejumlah 1,408 pengundi berdaftar mengundi di tiga saluran di Kem 11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Jumlah tersebut termasuk anggota-anggota kem lain, mahupun pesara yang nama masih lagi berdaftar di Pusat Mengundi Kem Semenggok.

Tambah Rizwan, setakat 11.30 pagi peratusan yang keluar mengundi mencecah 65 % dan beliau yakin jumlah tersebut akan meningkat pada sebelah petang.

Sementara itu, bagi Ketua Kompeni, Mejar Rohaizi Osman, 40 mereka diberikan pelepasan sejak pagi hingga petang ini bagi menunaikan kewajipan mengundi.

“Kami perlu undi awal kerana semua masih perlu bersedia untuk menghadapi apa-apa kemungkinan sepanjang PRN ini. Setakat ini keadaan masih terkawal,” kata Mejar Rohaizi yang telah dua kali mengundi sepanjang lebih lima tahun bertugas di Sarawak.

Proses pengundian disaksikan oleh ejen-ejen parti bertanding, namun kehadiran calon-calon bertanding bagi N.12 Kota Sentosa tidak kelihatan.

Proses pengundian awal bagi PRN Sarawak ke-11 ini berakhir pada pukul 5.00 petang ini.

 

– SF/AAS

Tinggalkan komen anda