Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

‘Cuma Mahu Melepaskan Rindu’

By 21 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka / Foto: Nur Ain Abd Ghani
MELAKA, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Johan Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Negeri Melaka, Ahmad Fiqry Ahmad Murad, 22, berkata niatnya cuma mahu melepaskan rindu dalam dunia pengucapan awam sebelum menamatkan pengajian tahun ini.

Menariknya, ini merupakan kali pertama pelajar tahun akhir Kursus Pentadbiran Korporat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan, Kampus Seremban 3, menyertai pertandingan pidato.

“Ini pertama kali saya menyertai pidato, saya aktif menyertai debat sebelum ini dan pernah mewakili UiTM dalam lapan pertandingan, dan pernah mendapat Johan dan Pendebat Terbaik Keseluruhan.”

“Saya hanya membuat persiapan seminggu sebelum pertandingan bermula daripada persiapan teks, menghafal serta memperbaiki intonasi kerana mendapat dorongan yang kuat daripada rakan baik yang turut serta dalam pertandingan ini iaitu Alif Ihsan Akmal Shukri dan Amirul Hafiz,” ujar Ahmad Fiqry kepada Malaysiaaktif.

image

Foto Ihsan Ahmad Fiqry

Tambahnya, pertandingan pidato secara TedTalk yang dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) sangat bagus kerana hujah lebih mudah difahami dan mendapat perhatian yang tinggi daripada penonton berbanding pidato formal.

“Program ini dapat menyedarkan remaja tentang isu semasa kerana kebanyakan perkara perlukan kajian. Jadi, bila ada pertandingan sebegini, saya boleh mengetahui banyak perkara,” katanya.

image

Ahmad Fiqry membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta piala dan sijil selepas memenangi pertandingan tersebut yang diadakan di UiTM Kampus Bandaraya Melaka, malam tadi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM), JaPen, Azahar Ismail berkata JaPen menganjurkan pertandingan ini bagi mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memartabatkannya kepada Kumpulan Generasi-Y.

Menurutnya, lebih 300 juta orang menggunakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa keempat terbanyak dipertuturkan di dunia serta turut diajar di universiti peringkat antarabangsa termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, China dan Jerman.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda