Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Ujian Saringan Awal Mampu Kurang Risiko Lahir Anak Talasemia

By 21 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Zaidi Jamin (Sabah)

KOTA KINABALU, 21 Mei  (Malaysiaktif) –? Orang ramai digalak menjalani ujian saringan talasemia lebih awal di klinik-klinik kesihatan atau  hospital berdekatan bagi mengetahui status kesihatan mereka.

Menurut Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Heric Corray, dengan menjalani ujian saringan lebih awal, kelahiran anak yang turut menghidap talasemia dapat dikurangkan kerana penyakit ini ialah penyakit keturunan yang diwarisi daripada ibu atau bapa kepada anak.

Heric berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Talasemia Sedunia Peringkat HQE di hadapan lebih 500 pegawai kanan serta warga hospital bertempat di Auditorium Menara Berkembar HQE semalam.

“Penyakit talasemia dikenali penyakit kecacatan darah, berpunca apabila hemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal dan tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang cukup dalam darah pesakit.

“Kebiasaannya pesakit talasemia mempunyai paras hemoglobin yang rendah iaitu kurang daripada 10 gram per desiliter. Secara umumnya sebanyak 76 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia menghidap talasemia, tetapi hanya 26 peratus yang menjalani ujian saringan,” jelasnya.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa mengadakan pelbagai program pendidikan kesihatan tentang penyakit talasemia kepada masyarakat termasuklah dalam kalangan warga HQE sendiri.

Sehubungan itu, beliau berharap agar warga HQE turut menyebarkan maklumat berkaitan penyakit talasemia agar maklumat tentang penyakit tersebut sampai kepada masyarakat dengan lebih menyeluruh.

“Kita amat berharap dengan memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang penyakit talasemia, sudah pasti kelahiran bayi tanpa gen talasemia dapat dikurangkan berpandukan status kesihatan masing-masing,” ujarnya.

Bertemakan  ‘Ke Arah Generasi Sifar Talasemia Major’, Sambutan Hari Talasemia Sedunia Peringkat HQE anjuran Unit Hematologi, Unit Promosi Kesihatan dan Persatuan Talasemia Sabah dimulakan dengan sesi ceramah “Talasemia di Sabah” yang disampaikan oleh Dr.Lily Wong, Leong Hoon Hing dan Stave Haiker.

SF

 

Tinggalkan komen anda