Skip to main content

   Oleh : Hamidah binti Md Drus (Jempol)

 

Jempol, 18 Mei (Malaysiaaktif) – Bekas guru yang kini Pengetua Yayasan Pendidikan Jempol, Kamarudin bin Ibrahim telah dianugerahkan Tokoh Guru Daerah Jempol bagi tahun 2016 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Jempol. Beliau memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1978 di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan, Ipoh, Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir ( Model Khas ) merupakan  tempat bertugas terakhir sebelum bersara wajib pada tahun 2013.

 

Di dalam majlis tersebut turut disampaikan Anugerah Guru Dedikasi bagi daerah Jempol kepada Nor Hazizah bt Mohd Sani dari SK Serting Ulu dan Loi Lai Wah dari SMK Datuk Mansor. Penghargaan juga diberikan kepada Guru Bersara oleh Tan Sri Mohd Isa bin Haji Abdul Samad, Ahli Parlimen Jempol merangkap Pengerusi Kumpulan FELDA yang juga perasmi majlis tersebut.

 

Pada majlis tersebut juga, Mohd Isa turut menyampaikan sumbangan sejumlah RM 20, 000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Jempol dan RM 3000 kepada Tokoh Guru 2016.

 

Pegawai Pendidikan Daerah Jempol, Haji Mohd Sazali Haji Sama selaku tuan rumah, dalam ucapannya semasa majlis perasmian berkata, demi memacu kecemerlangan bangsa, setiap guru perlulah bersiap siaga dari pelbagai aspek sejajar dengan harapan negara yang dizahirkan dalam tema hari Guru pada tahun ini Guru Pembina Negara Bangsa.

 

Jpeg

Terdahulu, Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Jempol yang diadakan di Dewan Serbaguna Feldajaya Raja Alias petang semalam diraikan lebih 200 orang terdiri dari guru-guru dan ketua-ketua jabatan di daerah. Turut diadakan Persembahan Koir oleh guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mansor, Deklamasi Sajak dan Persembahan Cak Lempong.

Tinggalkan komen anda