Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Isu Hudud di Akhbar Tidak Benar Sama Sekali-Salleh

By 29 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Asmidar Zainol & Jeffren Malaning (Sabah)

KOTA KINABALU, 29 Mei (Malaysiaktif) – Isu seperti Hudud yang telah dibangkitkan memberi gambaran undang-undang Hudud telah dibentangkan di parlimen, dan pihak media telah menggunakan perkataan Hudud di akhbar-akhbar sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali. Apa yang berlaku ialah pindaan ke atas undang-undang syariah bagi menentukan harga denda dinaikkan.

Demikian kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Salleh Said Keruak semasa merasmikan pelancaran frekuensi stesen Bernama di sebuah pasar raya terkemuka di sini semalam.

Tambahnya, usul tersebut merupakan usul persendirian bukannya usul kerajaan dan dalam sistem demokrasi yang diamalkan membolehkan usul persendirian dibentangkan, walau bagaimanapun masih bergantung kepada kesesuaiannya sama ada diberi peluang untuk dibentang atau tidak.

“Negara berusaha untuk mentransformasi parlimen dalam mengamalkan sikap ketelusan. Itu faktanya. Tapi kadang kala di akhbar dipaparkan pun begitu juga seperti media dalam talian mereka menggunakan perkataan hudud sedangkan tidak benar sama sekali.

“Jadi kekeliruan ini perlu diperjelas. Sudah tentu dalam konteks ini, Bernama sebagai sebuah agensi kerajaan perlu menjelaskan perkara sebenarnya melalui terbitan berita yang lebih tepat.

“Begitu juga dengan isu tuntutan ke atas Sabah oleh bakal Presiden Filipina, sepatutnya tidak perlu dibangkit sama sekali kerana kita tidak pernah mengiktiraf tuntutan berkenaan kerana rakyat negeri ini telah memilih untuk berada dalam Malaysia. Isunya mudah. Tidak perlu ada perbahasan lagi kerana itu keputusan yang telah kita buat sejak merdeka dahulu.

“Jadi tidak ada sebab mengapa kenyataan bakal Presiden Filipina tersebut perlu diperbesar dan Filipina seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai sebuah negara muafakat antara negara ASEAN,” katanya

Pada majlis tersebut, BERNAMA Radio dilancarkan di Sabah dengan frekuensi 107.9 sebagai sumber maklumat yang tepat kepada orang ramai bagi mengelak maklumat yang tidak sahih disebarkan kepada masyarakat.

Tambah Salleh, pada masa sekarang banyak maklumat yang tidak sahih dikongsi menerusi media massa yang mengakibatkan kekeliruan kepada masyarakat.

“BERNAMA Radio harus pastikan maklumat yang bakal disampaikan itu cepat, laju dan tepat. Kita harus pastikan maklumat disampaikan dengan bahasa yang mudah untuk difahami bagi mengelak salah faham kepada masyarakat,” ujar Salleh lagi.

Sementara itu, Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Azman Ujang berkata, sejak ditubuhkan pada 2007, BERNAMA Radio atau dahulunya dikenali sebagai BERNAMA Radio24 tidak pernah ketinggalan berada di lokasi acara dan peristwa penting.

“Memang tanggungjawab kami untuk sentiasa bersedia sebagai penghubung antara sumber berita dengan pendengar, terutama pada era teknologi maklumat yang menyaksikan persaingan hebat untuk menjadi pendahulu dalam menyampaikan berita tanpa mengambil kita ketepatan dan kesahihan maklumat,” ujar Azman lagi.

SF

Tinggalkan komen anda