Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

KPDNKK Serbu, Taklimat Kecoh

By 20 Mei 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)
MELAKA, 20 Mei (Malaysiaaktif) – Suasana menjadi kecoh seketika apabila segelintir peserta tidak berpuas hati kerana sesi taklimat yang sedang dijalankan penganjur terhenti apabila mereka diserbu pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sebuah hotel di Ayer Keroh semalam.

“Seramai 20 pegawai KPDNKK dan sepasukan polis hadir membuat pemeriksaan setelah mendapat maklumat daripada orang ramai kira-kira pukul 8.00 malam,” ujar Ketua Penguatkuasa KPDNKK, Hamzah Mahadi.

“Pihak kami dapati wakil syarikat memberi taklimat berkaitan syarikat dan pelan pemasaran [yang] mempunyai unsur dan bercirikan jualan langsung kepada peserta,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Wisma Persekutuan di sini, petang tadi.

Menurut Hamzah, KPDNKK negeri telah melakukan risikan selama dua bulan malah syarikat berkenaan juga sudah diberi surat peringatan sekali sebelum ini.

Pelbagai barangan turut dirampas ketika serbuan bernilai kira-kira RM8,378 antaranya komputer riba, projektor, USB dan laser pointer.

Tambahnya, KPDNKK mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan skim Anti-piramid 1993.

Kira-kira 500 peserta hadir dalam taklimat berkenaan dan terdapat segelintir yang mengaku telah dipaksa untuk mengikutinya. Kes ini masih dalam siasatan lanjut pihak KPDNKK.

-DZ

Tinggalkan komen anda