Skip to main content
HomePutrajaya

Kuiz ASEAN Platform Lahirkan Pemimpin Unggul

By 27 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh : Syed Hisham Shah / Pradeeb Kumar Velayutham (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 27 Mei (Malaysiaktif) – Kuiz ASEAN merupakan platform terbaik dalam meningkatkan pengetahuan mengenai hal ehwal ASEAN dalam kalangan belia masa kini. Paling utama, program ini menyemai semangat kesefahaman dan setia kawan dalam kalangan generasi muda bakal pemimpin dan peneraju masa depan ASEAN.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, kuiz kali ini telah memasuki edisi ketujuh penganjurannya setelah mula diadakan pada tahun 2002. Program ini merupakan salah satu program dwi-tahunan di bawah kalendar ASEAN-COCI (committee of culture and Information).

Menurutnya, untuk penganjuran kali ini, pelaksanaan kuiz dijalankan secara dalam talian sepenuhnya dengan tujuan untuk mengoptimumkan penyertaan peserta dan pemanfaatan teknologi.

”Sebanyak lebih 20,000 penyertaan yang diterima, namun ada sebahagiannya terpaksa ditolak kerana melebihi had umur yang ditetapkan, ini membuktikan kuiz ASEAN bukan sahaja relevan kepada para pelajar, malah kepada para belia juga.

“Kita berkemungkinan menimbangkan cadangan untuk melaksanakan kuiz ASEAN ini pada peringkat nasional yang lebih terbuka had umurnya agar dapat memberi peluang kepada para beliawanis untuk menonjolkan kebijaksanaan dan kewibawaan mereka,” ujar beliau.

Katanya, tema kuiz iaitu ‘Turning Vision into Reality for a Dynamic ASEAN Community’ dilihat mampu menyemai semangat kesefahaman dan setia kawan dalam kalangan generasi muda yang merupakan bakal pemimpin dan peneraju masa depan ASEAN.

Beliau berkata, pada tahun ini, penyertaan pelajar sekolah di seluruh negara amat memberangsangkan iaitu 20,612 orang pelajar berumur di antara 15 hingga 17 tahun, dan peningkatan sebanyak 245% telah dicatatkan apabila hanya 6,000 penyertaan diterima pada 2014.

”Penyertaan tertinggi adalah dari negeri Johor dengan 3,322 pelajar, diikuti Kedah sebanyak 992 orang dan Kelantan dengan 666 penyertaan. Lebih 62.78% penyertaan merupakan daripada pelajar perempuan iaitu seramai 11,126 peserta,” katanya.

Kuiz yang telah memasuki edisi ketujuh ini merupakan program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (MCMC).

 

-SH

Tinggalkan komen anda