Oleh: Mohamad Zamri Md Zain (Perak)
PENGKALAN HULU, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Bidang pertanian merupakan pekerjaan utama di daerah ini namun kurangnya pengetahuan tentang tahap kesuburan tanah dalam kalangan penduduk setempat menyebabkan mereka kurang berminat untuk menceburi bidang pertanian.
Satu lagi permasalahan yang sering menghantui para petani di kawasan ini ialah tanah berasid yang menyebabkan tanaman petani tidak menjadi dan akhirnya mendatangkan kerugian kepada mereka.
Menurut Penolong Pegawai Pertanian Daerah Pengkalan Hulu, Nazri Ishak, tanah yang subur dan sesuai untuk aktiviti pertanian ialah tanah yang mengandungi kandungan nilai keasidan pH6 hingga pH7 manakala tanah berasid pula sekitar pH3 hingga pH5.
“Tanah yang subur mampu menyerap air dengan baik ketika hujan dan tidak bertakung manakala tanah tidak subur akan merekah jika mengalami kemarau panjang. Untuk menyuburkan tanah berasid, tanah tersebut perlu dibaja dengan baja organik seperti baja tahi ayam,” jelas Nazri ketika ditemui di pejabatnya.
Sementara itu, Jabatan Pertanian Daerah Pengkalan Hulu dengan kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Pengkalan Hulu mengambil pendekatan untuk memberi maklumat dan penerangan kepada komuniti dan masyarakat setempat melalui Program Penghayatan 1Malaysia Peringkat Komuniti 1Malaysia (K1M) Kampung Selarong pada 8 Mei ini bertempat di Dewan Orang Ramai, Kampung Selarong.
Program pada Ahad ini dijangka akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim.
DZ/SF