Skip to main content
Berita TempatanPutrajayaWilayah Persekutuan

PRK: Bakal Calon Boleh Tidak Hadir Semasa Hari Penamaan Calon

By 31 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Mohd Sabri Abdullah

PUTRAJAYA, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Tidak tepat bagi sesetengah pihak yang mendakwa bahawa pencalonan akan menjadi tidak sah hanya kerana calon tersebut tidak hadir dan menyerahkan sendiri borang tersebut pada hari penamaan.

Demikian kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam sidang media semalam setelah ramai yang keliru sama ada calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.067 Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid perlu hadir atau sebaliknya untuk menyerahkan borang pencalonan pada 5 Jun.

Tambahnya, menurut Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, kertas penamaan calon mestilah diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di tempat penamaan dan antara 9.00 pagi dan 10.00 pagi pada hari penamaan.

“Penyerahan ini boleh dikemukakan oleh calon dan pencadang dan penyokongnya atau oleh mana-mana dua atau mana-mana seorang daripada mereka.

“Amat jelas bahawa tiada halangan dari segi undang-undang sekiranya borang penamaan calon tidak dikemukakan sendiri oleh calon tetapi boleh juga dikemukakan oleh salah seorang, sama ada  pencadang atau penyokong.

“Peraturan ini merupakan peruntukan yang sedia ada dan bukannya dasar yang ditentukan oleh SPR.

“Sama ada sah atau tidak borang penamaan tersebut bagi menentukan kelayakan bakal calon masih tertakluk kepada syarat -syarat yang sedia ada bagi kelayakan seseorang calon seperti dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan bertulis yang berkaitan Pilihan Raya yang berkuat kuasa buat masa ini.

“Borang penamaan bagi calon yang akan bertanding  boleh diserahkan  oleh pihak-pihak yang dinyatakan dalam Peraturan  6(2) Peraturan tersebut,” tegas Hashim.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata pencalonan Mastura yang merupakan balu kepada bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Kahir-il Anuar Wan Ahmad tidak melanggar batas agama dan adat orang Melayu Islam hanya kerana dicalonkan atas cadangan pihak lain.

“Cuma Mastura tidak dibenarkan untuk keluar berkempen termasuk keluar ke masjid untuk berkempen sehingga tempoh edahnya berakhir. Masa penamaan calon atau pengumuman keputusan PRK pun dia tak boleh keluar,” ujarnya lagi.

Kawasan Parlimen Kuala Kangsar di Perak mempunyai seramai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa iaitu 32,632 orang, 312 pengundi awal dan lima pemilih tidak hadir luar negara.

SPR telah menetapkan tarikh untuk PRK P.67 Kuala Kangsar dan P.93 Sungai Besar bakal dijalankan secara serentak bulan depan. Tarikh penamaan calon adalah pada 5 Jun manakala jika ada pertandingan, hari pengundian ditetapkan pada 18 Jun.

PRK kali ini dijalankan susulan nahas helikopter RP-C 6828 di Sarawak pada 5 Mei lalu yang mengorbankan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Tinggalkan komen anda